Media & Events

Kerjasama Erat Pemangkin Pembangunan Komuniti Pintar

13 Oct 2016
KEMAMAN, 13 Oktober 2016 ---  Lebih 400 orang peserta terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, guru-guru dan wakil-wakil masyarakat Kemaman hadir pada forum Komuniti Pintar Kemaman yang berlangsung pada 6 Oktober lalu.
 
Forum komuniti pintar tersebut yang dianjurkan secara bersama oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman (PDTK), Majlis Perbandaran Kemaman dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), bertujuan untuk menguar-uarkan inisiatif Komuniti Pintar Kemaman yang telah dilaksanakan di samping berkongsi maklumat-maklumat program serta kemudahan di bawah inisiatif berkenaan ke arah merangka pembangunan daerah Kemaman yang lebih baik.
 
Pelbagai kertas kerja turut dibentangkan oleh para penceramah pada forum tersebut antaranya, visi pelaksanaan Komuniti Pintar ke arah mencapai Negara Pintar menjelang 2020; Konsep Pembangunan Komuniti Pintar di Kemaman, Lab Inovasi Terbuka Kemaman (KOIL) serta kerjasama strategik antara agensi dalam membangunkan Komuniti Pintar Kemaman.
 
Dalam pada itu, kerjasama erat dalam kalangan agensi-agensi kerajaan, wakil-wakil masyarakat dan penglibatan lebih ramai peneraju tempatan adalah penting bagi memastikan setiap program yang dirancang di bawah inisiatif Komuniti Pintar Kemaman, memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat setempat.
 
Inisiatif komuniti pintar yang diperkenalkan sejak awal 2015 itu bermatlamat untuk meningkatkan taraf kehidupan dan sosioekonomi komuniti setempat selain membangunkan kandungan tempatan melalui platform teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.
 
Pada masa yang sama, syarikat-syarikat swasta dan premis-premis perniagaan turut digesa untuk tampil ke hadapan menaja kemudahan akses internet secara percuma kepada komuniti sekaligus membuka lebih banyak peluang untuk penduduk setempat untuk memajukan diri mereka.
 
Ketua Pegawai Komunikasi dan Ekosistem Digital MCMC, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Yunus turut melahirkan harapan agar penganjuran Forum Komuniti Pintar Kemaman tersebut dapat memberikan maklumat berguna kepada komuniti sekaligus menyuntik semangat penduduk setempat untuk menyumbang kepada pembangunan daerah Kemaman menerusi inisiatif Komuniti Pintar Kemaman yang sedang dilaksanakan ketika ini.
 
-  Tamat -
Share this article
Follow