Media & Events

MCMC: Pemilik Akaun Facebook Hina Agama Dihukum Penjara Satu Tahun.

10 Sep 2014
CYBERJAYA: 9 September 2014 – Pemilik akaun Facebook “Chow Jack" yang didapati membuat komen-komen bersifat menghina agama Islam telah dijatuhi hukuman penjara satu tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pendakwaan telah dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim di hadapan Hakim, Azman Mustafa ke atas pemilik akaun Facebook tersebut, Chow Mun Fai di bawah perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan pertuduhan pilihan di bawah subseksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Selepas pertuduhan dibacakan, tertuduh telah mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan yang ditawarkan dan dalam hujahan mitigasi hukuman melalui peguambelanya telah turut memohon maaf terhadap kesalahan yang dilakukannya.

Tempoh penjara selama satu tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah ke atas tertuduh yang bermula dari tarikh jatuh hukum adalah tempoh pemenjaraan maksimum seperti diperuntukkan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MCMC memandang serius perlakuan penghinaan terhadap agama dan memperingatkan masyarakat supaya lebih berhemah dalam membuat sebarang komen yang boleh menyinggung pihak lain atau berkongsi kandungan yang tidak sahih di media sosial demi menjamin keharmonian masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini. 

[TAMAT]
Share this article
Follow