Media & Events

PI1M Kubang Pekan Dibuka, Permudahkan Urusan Seharian Penduduk

11 Jun 2016

PI1M KUBANG PEKAN DIBUKA, PERMUDAHKAN URUSAN SEHARIAN PENDUDUK
 
KUBANG PEKAN, 11 Jun 2016 --- Masyarakat setempat di kawasan Kampung Kubang Pekan, Kuala Kangsar kini berpeluang menikmati kemudahan internet jalur lebar melalui pewujudan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kampung Kubang Pekan, di bawah inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia Kubang Pekan ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Jailani Johari sambil disaksikan oleh Ketua Pejabat Wilayah Utara MCMC, Ismail Othman, masyarakat sekitar Kampung Kubang Pekan, wakil-wakil daripada MCMC, jabatan kerajaan, syarikat perkhidmatan komunikasi, Pengerusi JKKK dan komuniti setempat.

Kemudahan PI1M memberi peluang kepada komuniti setempat untuk mempelajari teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) secara lebih mendalam melalui bengkel dan latihan yang disediakan, di samping dapat menggunakan kemudahan internet jalur lebar dalam melaksanakan pelbagai urusan seharian mereka.

Di samping itu, kewujudan PI1M di Kampung Kubang Pekan ini juga akan membantu menjana peningkatan sosioekonomi dalam kalangan komuniti setempat dan mewujudkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing. Pada masa yang sama, kewujudan PI1M ini juga dijangka akan memacu Kuala Kangsar bukan sahaja sebagai sebuah hub pendidikan tetapi juga
sebagai sebuah hub pelancongan terkemuka.

Dalam pada itu, MCMC telah menggariskan tiga ciri utama yang perlu ada pada setiap PI1M bagi memastikan pusat-pusat berkenaan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Tiga ciri yang dimaksudkan itu ialah menjadikan PI1M sebagai sebuah pusat pembelajaran berterusan, pusat pembangunan industri kecil dan pusat kegiatan sosioekonomi.

MCMC turut berhasrat untuk menjadikan PI1M sebagai ejen pengubah di kawasan-kawasan yang ianya beroperasi dengan harapan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti setempat serta mengurangkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

Ianya akan dimulakan dengan menawarkan latihan yang boleh menjadi pemangkin kepada komuniti selain membantu mereka mengenali ilmu teknologi dengan lebih mendalam. Jalinan kerjasama akan turut dijalinkan antara pengurus dan penolong pengurus dengan para pemimpin setempat seperti Pegawai Daerah, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan guru-guru untuk tujuan yang sama.

Sebanyak 674 PI1M yang telah beroperasi di seluruh negara, dengan 50 daripadanya di Perak.

TAMAT






 

Share this article
Follow