Pusat Media

Kenyataan Media: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN): Tiada Golongan Yang Akan Tercicir

29 Mac 2020
Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac 2020, cukup signifikan kerana ia adalah pakej rangsangan ekonomi terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah negara.

Daripada jumlah tersebut, beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi bernilai RM1 bilion meliputi usaha-usaha menambah baik rangkaian telekomunikasi dan penawaran internet percuma.

Dalam hal ini, Kerajaan tekad dan komited untuk memastikan bahawa tiada golongan yang akan tercicir terutamanya B40 dan M40 daripada menerima manfaat pakej tersebut. Langkah berkenaan adalah untuk melindungi dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah Internet percuma dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) tamat. Ia termasuk inisiatif-inisiatif seperti berikut:
 
  1. Semua pelanggan Pascabayar dan Prabayar Celcom, Digi, Maxis, dan U Mobile akan menerima internet berkelajuan tinggi percuma 1GB sehari, untuk digunakan antara jam 8 pagi dan 6 petang, bermula 1 April 2020, dan akan berkuat kuasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKP;
  2. Panggilan percuma ke talian hotline National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC), Pusat Pengurusan Operasi Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri;
  3. YTL Communications akan menawarkan akses percuma kepada sumber-sumber pembelajaran dalam talian FrogAsia serta 40GB data percuma melalui rangkaian mudah alih YES 4G dan pemberian sehingga lima (5) kad SIM prabayar 4G secara percuma daripada YES kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah Kerajaan; dan
  4. Selain daripada menawarkan pelan tanpa had bagi kediaman dan mudah alih, Telekom Malaysia Berhad (TM) selaku pengendali jalur lebar tetap turut menawarkan pas hotspot LTE 999GB secara percuma kepada pelanggan pascabayar unifi Mobile. Manakala, TIME dotCom Berhad menawarkan panggilan suara domestik secara percuma manakala rebat bil sebanyak RM240 diberikan kepada pelanggan yang ingin menaik taraf data jalur lebar rumah.
 
Syarikat-syarikat telekomunikasi juga turut memberi komitmen untuk melabur RM400 juta sehingga suku kedua tahun ini untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan. Pelaburan ini juga akan meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian untuk tapak kritikal seperti hospital, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat media. Sementara TM dan TIME dotCom Berhad memberi keutamaan kepada usaha memastikan infrastruktur backhaul pengendali mudah alih dapat terus disediakan.
 
Dalam masa yang sama, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan terus dilaksanakan untuk menambah baik kesalinghubungan digital negara, terutamanya di kawasan luar bandar. Sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 1 pada 27 Februari 2020 untuk pelaksanaan enam (6) projek di bawah NFCP (NFCP 1-6) bagi tahun 2020. Projek-projek tersebut akan dibiayai sepenuhnya melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) di bawah kawal selia dan tadbir urus MCMC.
 
Sementara itu, perkhidmatan pos dan kurier juga komited untuk membantu golongan usahawan menjalankan perniagaan secara e-dagang selain dari meneruskan perkhidmatan seperti biasa untuk rakyat Malaysia. Syarikat-syarikat pos dan kurier utama turut bersedia untuk menyediakan perkhidmatan tambahan seperti berikut:
 
  1. Perkhidmatan penghantaran barang pos dan kurier tidak melebihi 1 kilogram pada caj RM5 tidak termasuk cukai bagi perkhidmatan penghantaran di dalam Semenanjung, Sabah dan Sarawak;
  2. Kadar tersebut hanya ditawarkan kepada pengguna yang berdaftar di portal digital setiap penyedia perkhidmatan pos dan kurier. Pendaftaran di portal bertujuan untuk meningkatkan kecekapan usahawan dalam menguruskan kiriman mereka serta menggalakkan penggunaan kaedah tanpa tunai;
  3. Caj perkhidmatan penghantaran itu berkuat kuasa selama enam (6) bulan bermula dari 15 April sehingga 15 Oktober 2020.
Turut disumbangkan oleh syarikat-syarikat pos dan kurier serta telekomunikasi adalah dana berbentuk pembiayaan tunai, sistem dan peralatan ke Tabung GLC Disaster Relief Network (GDRN) berjumlah RM8.75 juta. Dana berkenaan akan dikendalikan oleh Yayasan Hasanah, sebuah yayasan milik Khazanah Nasional dan disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan. Senarai dan jumlah sumbangan adalah seperti berikut:
 
Sumbangan daripada syarikat-syarikat Pos dan Kurier serta Telekomunikasi
No Nama Syarikat / Organisasi Sumbangan (RM)
1. Association of Malaysian Express Carriers (AMEC) 50,000
2. GD Express Sdn Bhd (GDeX) 100,000
3. Huawei Technologies
 (peralatan berupa Sistem Telepresence, WiFi, AI Cloud dan Telefon Pintar)
4,500,000 (USD1,000,000)
  Celcom (GDRN) 100,000
4. Digi (GDRN) 1,000,000
5. Telekom Malaysia (GDRN) 1,000,000
6. TIME (GDRN) 1,000,000
7. U Mobile (GDRN) 1,000,000
  JUMLAH 8,750,000
Tidak ketinggalan, syarikat-syarikat penyiar turut menawarkan pelbagai inisiatif kepada rakyat jelata. Pada ketika rakyat sedang mematuhi PKP untuk tinggal di rumah, para penyiar swasta seperti Astro dan unifi TV menawarkan akses tontonan secara percuma. Antaranya;
 
  1. Astro
  • Menawarkan 14 saluran filem dan 11 saluran berita percuma; semua saluran percuma untuk pelanggan pakej sukan;
  • 22 saluran percuma menerusi aplikasi Astro-On-The-Go dan saluran KIX, Nat GEO WILD, Celestial Movies dan Cartoon Network untuk pelanggan NJOI; dan
  • Pelanggan perniagaan Astro, dibenarkan untuk menggantung perkhidmatan tanpa sebarang caj.
 
  1. unifi TV
  • Menawarkan akses percuma ke semua saluran (lebih 100 saluran); dan
  • 20% diskaun untuk setiap filem pilihan perkhidmatan Video-On-Demand.
Kesemua inisiatif yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi, pos dan kurier serta penyiar berkenaan akan memudahkan rakyat untuk tinggal di rumah dan menjalani kehidupan harian dengan baik tanpa sebarang gangguan. MCMC yakin inisiatif-inisiatif yang inklusif ini mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Untuk butiran lanjut mengenai pakej-pakej yang ditawarkan sepanjang tempoh PKP, pihak awam digalakkan untuk merujuk atau menghubungi syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan masing-masing.


PDF
Kongsi artikel ini
Follow