National Digital ID

Identiti Digital Nasional (ID Digital Nasional)

 
Secara umumnya, Identiti Digital (ID Digital) adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan lain-lain bagi digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan digital yang selamat, terjamin dan terlindung.
 
ID Digital Nasional memudahkan rakyat berurusan secara bersemuka atau secara jarak jauh di alam maya dengan penyedia perkhidmatan digital dari sektor awam dan swasta bagi tujuan pengesahan identiti dengan selamat, terjamin dan menjimatkan masa. Dengan adanya ID Digital Nasional orang ramai boleh mengakses dan melakukan pelbagai transaksi tanpa perlu mengingati pelbagai ID pengenalan dan kata laluan. ID Digital Nasional tidak akan menggantikan MyKad sebagai bukti kewarganegaraan tetapi akan melengkapinya sebagai bentuk pengenalan digital yang digunakan ketika bertransaksi secara digital.
 
Pelaksanaan ID Digital Nasional bermanfaat kepada rakyat, komuniti bisnes dan Kerajaan dalam aspek menyokong perkhidmatan digital yang lebih efisien dan terpercaya (trusted digital services). Selain daripada itu, perlaksanaan ID Digital Nasional kelak dijangka bakal menggalakkan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan bagi penambahbaikan kualiti kehidupan rakyat.  Ianya juga dijangka   memberi tambah nilai kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi digital merentasi pelbagai sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan awam, kewangan, e-dagang, e-dompet, e-kesihatan serta lain-lain. ID Digital Nasional juga membolehkan rakyat mendapatkan perkhidmatan tanpa sempadan tempat dan masa. Ianya lebih diperlukan pada masa kini akibat kesan pandemik Covid-19 bagi menyokong berlangsungnya perlaksanaan kerja, pembelajaran, transaksi serta lain-lain aktiviti secara dalam talian mahupun tanpa sentuh (contactless)  dalam menjalani norma baru.
 
ID digital telah dilaksanakan oleh kerajaan di beberapa negara seperti di United Kingdom, Estonia, Kanada, India dan lain-lain. Ianya telah memudahcara orang awam di negara–negara tersebut mengakses perkhidmatan serta melakukan transaksi dalam talian dengan mengesahkan identiti diri mereka menggunakan identiti digital. Antara transaksi  yang boleh dilaksanakan oleh rakyat di negara seperti Estonia dengan identiti digital contohnya adalah membuka akaun tanpa perlu hadir secara fizikal di bank  untuk membuktikan identiti, melakukan konsultasi dengan doktor dan mendapatkan preskripsi ubat-ubatan dalam talian melalui akses kepada rekod kesihatan,  melakukan transaksi penyewaan  hartanah, mengundi dalam talian, e-pembelajaran dan lain-lain.
 
MCMC telah diberikan mandat oleh Kabinet menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk melaksanakan kajian komprehensif bagi membangunkan satu Rangkakerja Identiti Digital Nasional. Pelaksanaan kajian tersebut bertujuan mengenalpasti halatuju dan keperluan untuk menyediakan Rangkakerja Identiti Digital Nasional di mana rundingan awam merupakan antara aktiviti libat rurus bagi kajian ini. Rundingan Awam ini bertujuan memperolehi maklum balas daripada orang awam dan pihak berkepentingan sebagai input dalam menyiapkan cadangan Rangka Kerja ID Digital Nasional.
 

Public Consultation Report

Kandungan Berkaitan
Kongsi artikel ini
Follow