Media & Events

209 Kampung Tanpa Wayar di NS

25 Dec 2012, Utusan Malaysia

SEREMBAN 24 Dis. - Sebanyak 209 Kampung Tanpa Wayar (KTW) telah dilaksanakan di negeri ini bagi memastikan jurang digital antara masyarakat desa dan luar bandar dengan masyarakat di bandar dapat dikurangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, usaha itu bagi membolehkan penduduk luar bandar menikmati akses internet jalur lebar dengan lebih baik seperti di bandar.

Jelas Ismail, KTW melibatkan 65 projek di Jelebu diikuti 48 di Jempol, Kuala Pilah (20), Tampin (38), Rembau (17), Seremban (11) sementara di Port Dickson pula 10.

"Pelaksanaan KTW di bawah projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat merupakan inisiatif yang diwujudkan di bawah program Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Menerusi KTW, penduduk di luar bandar dapat menikmati perkhidmatan internet jalur lebar dan seterusnya dapat mencapai hasrat kerajaan supaya memastikan rakyat di negeri ini memperoleh maklumat dalam bidang ini," katanya di sini hari ini.

Kata Ismail lagi, beberapa pendekatan yang berterusan oleh kerajaan bagi memastikan penduduk luar bandar terus mendapat capaian internet dibuat menerusi Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M), 1Bestarinet serta Perpustakaan Jalur Lebar (PJL) WiFi.

Jelasnya, PI1M adalah satu pendekatan dalam merapatkan jurang digital komuniti setempat dalam Pusat Jalur Lebar Komuniti yang mana ia memberikan kemudahan WiFi kepada penduduk setempat.

"1Beistarinet pula adalah usahasama yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran dengan YTL Communication Sdn. Bhd. dalam bidang pendidikan melibatkan sekolah menerusi pembelajaran maya selain mengatasi kekurangan guru di luar bandar.

"Program ini dijangka dinikmati oleh 10,000 buah sekolah dan sebanyak 91 buah sekolah di negeri ini telah dikenal pasti untuk melaksanakan projek ini," kata Ismail.

Share this article
Follow