Pusat Media

71% aduan salah guna media sosial diterima tahun lalu - Forum Kandungan

31 Jan 2023, Dagang News
CYBERJAYA, 31 Jan - Sejumlah 71% aduan berkaitan kandungan Internet dan media sosial diterima sehingga 31 Disember 2022, menurut Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia. 

Sebanyak 518 kes berkaitan diadukan kepada Biro Aduan berbanding 412 kes pada tahun 2021. 

Menurut data yang dikongsi oleh Forum Kandungan, WhatsApp mempunyai jumlah tertinggi iaitu 204 kes, diikuti Facebook (130 kes), Instagram (68 kes), TikTok (13 kes), dan Twitter (6 kes). 

"Aduan tersebut terdiri daripada buli siber, penyalahgunaan maklumat peribadi, 'Love Scams' dan hantaran yang menyinggung agama serta beberapa laporan berkaitan pelbagai isu yang tular sepanjang tahun," menurut Forum Kandungan dalam kenyataan media hari ini. 

Organisasi tersebut juga melihat peningkatan tersebut sebagai kebimbangan terhadap penyalahgunaan platform media baharu namun melihat sudut positif jumlah aduan tersebut. 

"Ia juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia memainkan peranan dalam pengawal seliaan kendiri kandungan dengan mengenal pasti kandungan yang memudaratkan dan seterusnya melaporkan kandungan tersebut kepada pihak yang berkaitan,"katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Forum Kandungan, Kenny Ong, menggesa pengguna media sosial untuk mengambil berat kelakuan dan penglibatan mereka di dalam talian. 

Beliau berkata, konsep kawal selia kendiri amat penting kerana ia boleh membantu mengurangkan penciptaan dan peningkatan kandungan memudaratkan terutamanya di media sosial. 

Katanya, sebagai pengguna media sosial, masyarakat diberi kuasa untuk memilih jenis kandungan yang ingin dipaparkan di media sosial. 

"Paling penting, kita juga boleh mengambil langkah kendiri terhadap sebarang kandungan yang tidak sesuai dengan menggunakan fungsi sekat, redam,nyaikut dan lapor.

"Selain itu, kami ingin menasihatkan semua orang supaya tidak terlibat dengan kandungan sedemikian, bagi mengurangkan penyebarannya. 

"Kami menyasarkan untuk menyediakan ekosistem kandungan yang selamat untuk rakyat Malaysia, dan kawal selia kendiri meletakkan semula kuasa di tangan pengguna untuk menentukan jenis kandungan yang mereka perlukan,"katanya. 
Kongsi artikel ini
Follow