Pusat Media

GOMSPV bangunkan infrastruktur kebangsaan percepat 5G

22 Feb 2021, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Syarikat Tujuan Khas Milik Kerajaan Malaysia (GOMSPV) akan mengambil alih pembangunan infrastruktur kebangsaan bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian telekomunikasi selular generasi kelima (5G) di negara ini.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata pendekatan baharu melalui GOMSPV iaitu badan di bawah Kementerian Kewangan, perlu dibuat bagi memudahkan capaian rangkaian digital yang lebih baik.

Ketika ini, katanya, pelaburan dalam rangkaian 5G akan membabitkan pertambahan kos antara 25 peratus sehingga 75 peratus berbanding 4G.

"Tanpa GOMSPV, ia tentu memberi cabaran besar kepada syarikat telekomunikasi. GOMSPV akan menjadi entiti mengurangkan penduaan rangkaian, sekali gus membolehkan syarikat telekomunikasi memfokus kepada memberi perkhidmatan lebih menyeluruh bagi memanfaatkan pengguna termasuk daripada aspek liputan dan harga lebih kompetitif.

"Mengapa banyak rungutan capaian internet Malaysia perlahan? Jawapannya kerana negara mempunyai beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi sedangkan tiada jalur spektrum tambahan untuk ditawarkan.

"Apabila bilangan pengguna tinggi, ia akan memberi kualiti pengalaman internet yang lebih rendah, tambahan pula penggunaan internet setiap megahertz di negara ini sudah mencapai 20 gig.

"Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding Singapura yang masih berada di bawah enam gig setiap megahertz, maka pendekatan baharu daripada aspek bantuan kerajaan perlu dilakukan bagi menangani isu rangkaian 5G di negara ini," katanya media 'MyDigital Future – Accelerating 5G' secara maya di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melancarkan 'MyDigital - Rangka Tindak Ekonomi Digital Malaysia' yang akan menyediakan landasan bagi menjadikan negara sebagai nadi digital serantau menjelang 2030.

Fadhlullah Suhaimi berkata, berdasarkan kesediaan kini, negara dijangka berupaya menyediakan rangkaian 5G secara komersial menjelang suku keempat tahun ini.

Katanya, penyediaan jalur 5G berupaya membawa tarikan kepada negara secara ekonomi, termasuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan isi rumah.

"Sejumlah RM15 billion akan dilaburkan bagi tempoh 10 tahun untuk pelaksanaan 5G di seluruh negara dan ini dijangka menghasilkan sehingga 105,000 peluang pekerjaan baharu.

"Negara seperti Singapura, Thailand dan Vietnam sudah berada di hadapan dalam pelaksanaan 5G, justeru negara perlu pantas supaya dapat terus kompetitif bagi menarik pelabur," katanya.

Kongsi artikel ini
Follow