Pusat Media

Elakkan Diri Daripada Menjadi Statistik Jenayah Siber

16 Nov 2018, bernama
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Penggunaan teknologi komunikasi yang saban hari semakin canggih belum tentu dapat melindungi penggunanya daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Bahkan tanpa kematangan penggunaan teknologi, pengguna yang alpa akan mudah terpedaya dengan liciknya helah penjenayah dan pemutar belit yang semakin angkuh dengan modus operandi mereka.

Ini boleh dilihat daripada peningkatan kes jenayah siber berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jenayah siber yang semakin menjadi-jadi di negara ini turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang menyuarakan kebimbangan beliau dengan peningkatan jenayah berkenaan.

Sehingga 3 Oktober lepas, sebanyak 8,313 kes jenayah siber direkodkan melibatkan kerugian $299 juta. Ini berbanding statistik 2017 iaitu sebanyak 10,203 kes melibatkan kerugian kira-kira RM184 juta.

“Jenayah siber ini merupakan ancaman serius kepada rakyat kerana penipuan ini melibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit yang merupakan hasil titik peluh mangsa,” kata beliau.

Antara jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti serta pencerobohan data.

Dalam usaha memerangi jenayah siber, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menubuhkan satu jawatankuasa kerja dalam masa terdekat dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat telekomunikasi dan institusi kewangan.

Kerjasama ini diharapkan akan dapat mempercepat perkongsian maklumat dan maklum balas kepada orang ramai sekiranya sebarang elemen penipuan dapat dikesan.


KEMPEN KESEDARAN

Selain itu, KKMM juga menggerakkan Kempen Kesedaran Dan Pencegahan Jenayah Komunikasi sepanjang November ini hingga Disember 2019.

Agensi serta jabatan di bawah KKMM seperti MCMC, Bernama, RTM, Jabatan Penerangan (JaPen), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), dan Bahagian Komunikasi Strategik KKMM bakal menggalas tanggung jawab mempromosi dan mengadakan program khas masing-masing bagi menyokong kempen berkenaan.

Kerjasama dengan rakan strategik seperti PDRM, rangkaian media swasta, pelbagai kementerian, badan-badan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat diharap dapat meningkatkan keberkesanan kempen ini.

Sebagai contoh PDRM membantu dari aspek penguatkuasaan dan bahan kempen sementara stesen tv dan radio swasta pula membantu menyebar luas bahan kempen serta penglibatan kementerian lain membenarkan jerayawara kempen di tempat masing-masing.

Kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan pemimpin masyarakat juga bakal dijalin untuk menambahkan lagi keberkesanan kempen ini.

Sasaran utama yang dikenal pasti bagi kempen ini adalah orang awam terutamanya pesara, wanita bekerjaya dan golongan pertengahan umur kerana golongan ini yang dilaporkan mudah terpedaya dengan jenayah siber.

Kempen juga mensasarkan golongan muda termasuk pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut serta mengikuti perkembangan kempen ini boleh melayari media sosial dengan kata kunci #BeSmart #JanganTerpedaya dan #Scammers.


TIPU PANGGILAN

Secara umum, ada empat jenis penipuan yang dikenalpasti berlegar tanpa mengira masa untuk mencari mangsa iaitu sindiket tipu panggilan (juga dikenali dengan nama Macau Scam), Love Scam (juga dikenali 419 Scam), pinjaman tidak wujud dan penipuan belian dalam talian.

Sekiranya anda menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali, berhati-hatilah kerana ia mungkin anggota sindiket tipu panggilan yang cuba memerangkap anda! Lebih elok jika anda tidak menjawab panggilan daripada nombor yang anda tidak kenali!

Modus operandi untuk penipuan seperti ini ialah pemanggil mengaku kononnya anggota badan kerajaan seperti PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bank Negara, mewakili mahkamah ataupun badan swasta seperti pihak bank memberitahu bakal mangsa bahawa mereka mempunyai masalah dengan pihak berkuasa.

Antara masalah yang biasa dijadikan umpan adalah saman tertunggak, barang import yang atas nama pemanggil yang bermasalah cukai, serta hutang pinjaman tertunggak dengan pihak bank.

Bakal mangsa yang ketakutan akan cuba menyelesaikan masalah seberapa segera kerana tidak mahu masalah berpanjangan.

Pemanggil kemudiannya meminta maklumat peribadi dan kewangan bakal mangsa dan setelah berpuas hati, meminta sejumlah wang dipindahkan ke akaun pihak ketiga atau akaun mangsa sendiri yang mana pemanggil mempunyai kawalan ke atas akaun tersebut.

Sepanjang tahun 2017 sebanyak 2,912 kes tipu panggilan dilaporkan melibatkan kerugian berjumlah RM65,458,277.00. Malangnya sehingga 3 Oktober tahun ini sahaja 3,816 kes telah dilaporkan dengan nilai kerugian RM162,625,21. 90.



LOVE SCAM

Untuk penipuan Love Scam yang juga dikenali dengan nama ‘Romance Scam’, suspek mencari mangsa dengan berkenalan melalui laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

Mensasarkan golongan yang dibelenggu kesunyian seperti golongan bujang lanjut usia, janda dan duda, suspek akan menggunakan kata-kata manis untuk memikat bakal mangsa sehingga wujud perasaan percaya kepada suspek.

Bila tiba masanya, suspek akan memperdaya mangsa dengan menjanjikan satu barangan bungkusan contohnya barang kemas dari luar negara namun dia menghadapi masalah untuk membawa masuk barangan itu dengan berhelah ia tersangkut di pihak kastam.

Untuk mendapatkan barang itu, mangsa perlu mendahulukan wang bagi membayar sejumlah yuran untuk mengeluarkan barang itu daripada simpanan pihak kastam. Tanpa banyak soal mangsa yang sudah percaya dengan kata-kata manis suspek bersetuju menjelaskan bayaran dan hanya sedar ditipu hanya bila mendapati barang yang dijanjikan tidak kunjung tiba.

Sehingga awal Oktober 2018, jumlah wang dilaporkan ditipu melalui sindiket ini berjumlah RM80,086, 530. 15 melibatkan 1,398 kes, berbanding hanya RM67,199,064.00 melibatkan 1,774 kes, sepanjang 2017.



NILAI MENINGKAT

Bagi kes penipuan pinjaman tidak wujud pula, sebanyak 513 kes dilaporkan sepanjang 2017 melibatkan kerugian bernilai RM32,186,648.00.

Modus operasi melibatkan suspek menawarkan pinjaman peribadi mudah lulus kepada mangsa yang sebenarnya tidak wujud. Mangsa pula atas dasar percaya dan mungkin terdesak sanggup mengeluarkan wang pendahuluan kononnya untuk membayar yuran memproses pinajaman, yuran penjamin, duti setem dan insurans.

Hingga 3 Oktober 2018, sebanyak 286 kes penipuan jenis ini dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM37,283,986.11. Angka ini jelas menunjukkan meskipun jumlah kes penipuan berkurangan daripada yang dicatat sepanjang 2017, namun nilai kerugian adalah lebih besar.

Kecenderungan yang sama dapat dilihat dalam rekod penipuan belian dalam talian (e-commerce) yang mana walaupun jumlah kes yang dilaporkan sehingga awal Oktober 2018 lebih rendah dari jumlah keseluruhan kes pada 2017, nilai kerugian yang dicatatkan setakat ini untuk 2018 sudah pun melebihi nilai kerugian sepanjang 2017.

Jumlah kes yang direkodkan sehingga awal bulan Oktober 2018 adalah 2,813 melibatkan jumlah RM19,562,025.09. Untuk 2017 sebanyak 5,004 kes dilaporkan melibatkan jumlah RM19,312, 788. 00 pada 2017.

Suspek menawarkan urusniaga palsu dan kerana urusniaga dibuat dalam laman kedai dalam talian terkemuka, pembeli teruja melakukan pembelian tetapi berakhir dengan kekecewaan.

‘Penjual’ biasanya menawarkan harga yang jauh lebih murah daripada apa yang biasa terdapat di pasaran sebagai helah untuk mengumpan dan memerangkap mangsa.
Kongsi artikel ini
Follow