Media & Events

MCMC lancar Cashless@PEDi galak budaya bayar tanpa tunai dalam masyarakat luar bandar

18 Jan 2023, Utusan TV

DALAM usaha membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) telah melancarkan projek Cashless@PEDi.

Projek rintis itu akan diadakan di 28 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) terpilih seluruh negara melalui pendekatan pameran dan pelbagai aktiviti.

PayNet dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan 11 bank tempatan adalah pengendali rangkaian pembayaran runcit kebangsaan serta perkongsian infrastruktur berpusat untuk pasaran kewangan Malaysia.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC memberitahu, Cashless@PEDi bertepatan dengan matlamat mempertingkatkan tahap literasi pembayaran digital di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.

Menurutnya, kajian cerapan pembayaran digital PayNet 2022 mendapati, 78 peratus rakyat negara ini masih lagi cenderung menggunakan pembayaran tunai pada tahun 2021 iaitu 11 peratus kurang berbanding tahun 2020.

Namun, menurutnya lagi, trend penggunaan tunai kembali meningkat pada 2022 terutamanya di kawasan luar bandar.

“Projek rintis ini bermula di PEDi PPR Sri Pantai dan PEDi PA Seri Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 31 Disember 2022.

“Penduduk setempat didedahkan dengan maklumat dan kelebihan kaedah pembayaran tanpa tunai serta berpeluang menikmati pengalaman berbelanja tanpa tunai melalui pelbagai kaedah e-pembayaran yang dikendalikan oleh PayNet seperti kad debit (MyDebit), JomPay, DuitNow QR, dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MCMC menambah, pada bulan Januari ini, kempen Cashless@PEDi diteruskan di PEDi Taman Kelisa dan PEDi FELDA Soeharto di Selangor dan diikuti di beberapa PEDi di Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.

Pada masa sama, MCMC dan PayNet akan mengkaji keberkesanan projek rintis ini sebelum program berkenaan diperluaskan di PEDi lain di seluruh negara.

Share this article
Follow