Media & Events

Maklumat penting yang perlu anda tahu tentang teknologi 5G

15 Jan 2020, Astro Awani
APAKAH itu teknologi 5G?

5G merupakan teknologi sambungan tanpa wayar generasi kelima.

Teknologi ini merupakan lanjutan daripada generasi sebelumnya daripada 1G ke 4G.

Akan tetapi teknologi 5G mempunyai keupayaan yang nyata berbeza berbanding teknologi sebelumnya. Pada zaman teknologi 1G dan 2G, sambungan dibuat bagi tujuan menyampaikan perkhidmatan suara, diikuti dengan 3G untuk sambungan data mudah alih manakala teknologi 4G dibangunkan untuk internet mudah alih. Teknologi 5G pula mempunyai keupayaan untuk mengubah fungsi teknologi mudah alih kepada masyarakat. 

Adakah ia mempunyai kelajuan yang tinggi semata-mata?

Berdasarkan demonstrasi yang dilakukan TM di Langkawi, kelajuan 5G yang boleh dicapai mencecah 1.5GB sesaat - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
Berdasarkan demonstrasi yang dilakukan TM di Langkawi, kelajuan 5G yang boleh dicapai mencecah 1.5GB sesaat
Keupayaan teknologi 5G ini bukan sahaja mampu memberikan pengalaman internet berkelajuan tinggi pada kadar 10 hingga 100 kali ganda berbanding teknologi 4G, ia juga datang dengan sambungan yang lebih berkualiti.

Berdasarkan demonstrasi yang dibuat TM di Langkawi, kadar kelajuan maksimum yang berjaya dicapai mencatatkan lebih 1.5GB sesaat untuk muat turun data.

Ini bermakna anda hanya perlu beberapa saat untuk menyiapkan muat turun filem kegemaran anda pada kualiti HD.

Kalau sebelum ini, kadar lengahan (atau lebih dikenali sebagai latency) pada sekitar 20 milisaat, melalui teknologi 5G, kadar lengahan ini menjadi sangat minimum iaitu sekitar 1 milisaat.

Kadar lengahan ini membolehkan kawalan peranti pada jarak jauh menjadi lebih cekap dan jitu.

Selain itu, teknologi ini juga mampu menghubungkan sejuta peranti pada keluasan satu kilometer persegi berbanding teknologi LTE yang hanya mampu menghubungkan 1,000 peranti dalam keluasan sama.

Lebih mudah, tiga sifat utama 5G
1. Kelajuan yang tinggi
2. Kadar lengahan yang rendah (1milisaat)
3. Mampu menghubungkan lebih banyak peranti bagi setiap 1 km persegi

Apa pentingnya sambungan internet yang cekap?

Kecekapan sambungan internet mudah alih menerusi 5G menjadikan kadar penggunaan tenaga lebih rendah pada peranti.

Maksudnya, penggunaan bateri lebih jimat dan peranti boleh tahan lebih lama.

Malah, kapasiti internet yang tinggi pada 5G juga mampu menampung peningkatan kadar sambungan internet pada peranti seiring dengan permintaan yang dipacu oleh internet benda (IoT)

Kenapa perlu 5G ? 4G pun belum lengkap kat Malaysia...

Sehingga Oktober 2019, kadar penembusan rangkaian 4G di Malaysia berada pada tahap 82.2 peratus.

Bermula Oktober 2019, TM memulakan pembangunan infrastruktur 5G di Subang Jaya dan kemudian diikuti dengan 11 kes penggunaan yang dilakukan di Pulau Langkawi di bawah Projek Pembangunan 5G (5GDP).

Sebagai langkah memastikan Malaysia berada ‘kebal masa depan’,  adaptasi teknologi 5G bakal melengkapkan kesalinghubungan sambungan sedia ada malah mempercepatkan proses pembangunan ekosistem digital di Malaysia.

Hal ini kerana teknologi 5G yang telah diuji di Langkawi berupaya untuk memberi liputan yang lengkap di semua kawasan (bandar atau luar bandar) dengan kos yang lebih cekap.

Sebagai analoginya, ketika ini anda sedang guna Apple iPhone 8.

Adakah perlu untuk kita beli iPhone X dahulu sebelum naik taraf ke iPhone 11?

Jawapannya, tidak kerana dengan membuat pelaburan membeli iPhone 11, ia sudah memenuhi keperluan teknologi semasa (seperti yang ditawarkan pada iPhone X) malah melengkapkan keperluan teknologi masa depan (seperti yang ditawarkan iPhone 11).

5G akan mentransformasi teknologi sedia ada

Menerusi 5G, keupayaan seperti pengesanan wajah serta pengkalan data dapat diintegrasikan dengan lebih lancar - Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
Menerusi 5G, keupayaan seperti pengesanan wajah serta pengkalan data dapat diintegrasikan dengan lebih lancar

Setakat ini, teknologi mudah alih telekom tidak diklasifikasikan sebagai “teknologi kegunaan umum” seperti teknologi elektrik, internet mahupun teknologi enjin pembakaran dalaman.

Kesemua teknologi kegunaan umum ini telah banyak mengubah gaya hidup manusia dan cara perniagaan dijalankan.

Namun, dengan kehadiran teknologi generasi kelima (5G), ia berpotensi besar untuk merancakkan komunikasi mudah alih melalui inovasi di samping mewujudkan industri baharu yang membawa manfaat besar kepada keseluruhan ekonomi negara.

Ini bermakna 5G akan memajukan teknologi mudah alih semasa melalui penambahbaikan teknologi untuk menghubungkan manusia dengan peranti canggih lain.

Share this article
Follow