Pusat Media

Rangkaian komunikasi terjejas di Seberang Tayor, sedang dibaik pulih - MCMC

31 Ogo 2021, Bernama
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos -- Kerja baik pulih rangkaian komunikasi yang terjejas di Menara Felda Seberang Tayor, Kemaman akibat kebakaran pada 5.58 petang semalam sedang giat dijalankan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata kebakaran itu melibatkan sebuah menara komunikasi milik Desabina Industries Sdn Bhd yang digunakan oleh pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

Punca kebakaran di kabin menara komunikasi berkenaan masih dalam siasatan. Kebakaran tersebut telah memusnahkan semua peralatan di dalam kabin, bahagian dalam kabin dan bekalan elektrik di menara berkenaan.

Bagaimanapun, ia tidak melibatkan struktur menara sedia ada. Kerosakan peralatan pada menara ini juga mengakibatkan gangguan perkhidmatan di beberapa buah menara yang bersambung iaitu di Felda Air Putih, Lubuk Lesong, Kampung Paman, Ladang Boustead, Kampung Pasir Gajah, Lubuk Lesung, Pasir Semut, Kampung Tebak dan Teladas," demikian menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, semua penyedia perkhidmatan yang berada di menara tersebut telah mengambil langkah sementara dengan menggerakkan Mobile Communication Vehicle dan Portable Base Transceiver Station ke lokasi kejadian untuk menyediakan perkhidmatan.

Menurut MCMC kerja baik pulih dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya Isnin depan.
Kongsi artikel ini
Follow