Pusat Media

Waspada panggilan individu menyamar pegawai Tribunal MCMC

02 Feb 2023, Utusan TV

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai daripada Tribunal MCMC.

Adalah dimaklumkan bahawa MCMC tidak mempunyai sebarang tribunal yang dinamakan dan beroperasi sebagai Tribunal MCMC, dan tiada juga kakitangan daripada Tribunal MCMC seperti yang didakwa.

Sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan MCMC lazimnya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang MCMC ataupun menerusi platform media sosial MCMC dan bukannya menggunakan nama individu, nombor telefon bimbit persendirian mahupun penggunaan bahasa yang meragukan.

Sehubungan itu, MCMC menggesa orang awam untuk tidak terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak yang tidak dikenali.

Sekiranya menerima panggilan-panggilan mencurigakan, segera laporkan perkara tersebut kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 ataupun kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan.

Kongsi artikel ini
Follow