Pusat Media

Siaran Akhbar: Isi Rumah B40 Dan OKU Diminta Daftar Segera Sebelum 31 Mei 2020 (Con't)

20 Mei 2020
ISI RUMAH B40 DAN OKU DIMINTA DAFTAR SEGERA SEBELUM 31 MEI 2020 UNTUK DAPATKAN DEKODER PERCUMA MYFREEVIEW
  • Daftar melalui laman sesawang www.mytvbroadcasting.my/B40 atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV di talian 1800-18- 1088/1-300-80-6988
  • Sila kemukakan butiran diri yang lengkap iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon


CYBERJAYA, 20 Mei 2020 --- Isi rumah B40 dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang masih belum menerima set dekoder myFreeview percuma adalah digesa untuk membuat permohonan melalui saluran yang disediakan mulai sekarang hingga selewat-lewatnya 31 Mei ini.

Bertepatan dengan semangat saling memberi sempena musim perayaan ini, mereka dipelawa untuk menyatakan minat bagi menerima dekoder percuma myFreeview dengan mengisi borang di laman sesawang www.mytvbroadcasting.my/B40 dengan butiran diri yang lengkap iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat penuh serta nombor telefon atau menghubungi MYTV Careline di talian 1800-18-1088/1-300-80-6988 untuk memudahkan proses pengagihan set dekoder percuma myFreeview kepada mereka yang layak.

Semakan kelayakan juga boleh dibuat melalui dua saluran yang dinyatakan di atas. Sebarang pendaftaran selepas tarikh akhir iaitu 31 Mei 2020 tidak akan diproses. Inisiatif pemberian dekoder tambahan myFreeview secara percuma ini adalah untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dalam mengakses informasi dan hiburan secara mudah, percuma dan berkualiti melalui penyiaran TV digital.

Oleh itu, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperuntukkan sebanyak 300,000 unit dekoder tambahan kepada isi rumah B40 dan OKU di seluruh negara. Ini 2 merupakan tambahan kepada dua (2) juta unit dekoder percuma yang telah diperuntukkan oleh syarikat MYTV sebelum ini.

Kos perolehan tambahan ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Selepas tarikh tutup 31 Mei 2020, kelayakan permohonan isi rumah B40 dan OKU akan disemak dan penghantaran dekoder melalui perkhidmatan kurier akan dilaksanakan ke seluruh negara secara berperingkat mulai bulan Jun.

Kaedah penyerahan secara berkelompok hanya akan dipertimbangkan selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa yang berkaitan. MyFreeview ialah jenama platform TV digital, tanpa bayaran bulanan, yang menampilkan 15 saluran televisyen definisi tinggi (HD) dan 6 saluran radio.

Selain mendapat maklumat dan menikmati hiburan, saluran myFreeview juga memberi peluang kepada penonton dan peniaga untuk melakukan peluang perniagaan melalui saluran membelibelah dari rumah.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow