Media & Events

Bajet 2022 - MCMC Menyelaras Pelaksanaan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia

01 Nov 2021
BAJET 2022 - MCMC MENYELARAS PELAKSANAAN PAKEJ PERANTISISWA KELUARGA MALAYSIA

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membantu dalam menyelaras pelaksanaan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia khusus untuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dari golongan B40 untuk memiliki sebuah peranti tablet bersama data jalur lebar mudah alih. Pengenalan pakej yang dibentangkan dalam Bajet 2022 baru-baru ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk memastikan rakyat terutamanya pelajar IPT mempunyai peranti dan akses Internet pada kos yang berpatutan.

Tempoh mendaftar untuk pakej ini dijangka akan bermula pada suku kedua 2022. Sementara itu, pihak MCMC dan penyedia perkhidmatan mudah alih yang terlibat iaitu Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) akan bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan inisiatif ini berjalan dengan lancar.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan ini membantu pelajar IPT menjalankan aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari Internet untuk tujuan penyelidikan dan penghantaran mesej kepada keluarga dan rakan-rakan.

Usaha sama Kerajaan dan penyedia perkhidmatan memastikan kebolehcapaian digital yang lebih baik untuk Keluarga Malaysia, yang mana pelajar IPT adalah peneraju masa depan negara. Kini, pelajar IPT dari keluarga B40 boleh memiliki peranti dan akses Internet untuk menjalani pembelajaran yang lebih mampan.
 

PDF

Share this article
Follow