Pusat Media

Belanjawan 2021: RM9.4 Bilion Untuk Bangunkan Strategi Digital Negara Yang Holistik

09 Nov 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada Jumaat yang lalu. Di dalam Belanjawan tersebut, Kerajaan telah memperuntukkan RM9.4 bilion untuk membangunkan strategi digital nasional yang holistik merentasi sektor industri dan rakyat Malaysia.

Selaras dengan hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk menjadikan Internet sebagai utiliti ketiga yang sama seperti kemudahan air dan elektrik, Belanjawan 2021 telah memberikan tumpuan khusus kepada usaha-usaha untuk merapatkan jurang digital dan menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik dengan adanya Program Jaringan PRIHATIN dan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Program Jaringan PRIHATIN yang menelan belanja RM1.5 bilion akan dapat dimanfaatkan oleh lapan (8) juta dari golongan B40. Bantuan ini akan mengurangkan beban kewangan mereka dalam mendapatkan kemudahan Internet. Mereka akan menerima RM180 seorang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan Internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu. Ini ditambah pula dengan sumbangan dari pihak industri sebanyak RM1.5 billion untuk golongan sasaran yang sama.

Di bawah pelan JENDELA, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM500 juta bagi tahun 2021 bertujuan untuk memastikan kesalinghubungan kepada 430 buah sekolah di seluruh negara meliputi semua negeri bagi pembangunan generasi akan datang. Sejumlah RM42 juta turut diperuntukkan bagi menambah baik kesalinghubungan Internet di 25 kawasan perindustrian untuk meningkatkan daya tarik pelaburan di bawah pelan yang sama. MCMC pula akan memperuntukkan sebanyak RM7.4 billion untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar. Pihak industri pula, juga akan membuat pelaburan yang setanding atau lebih untuk kawasan bandar dan pinggir bandar (suburban).

Fasa satu (1) JENDELA, yang sudah pun bermula dan berterusan sehingga akhir 2022, akan memberi fokus kepada usaha memperluaskan akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit kepada sebanyak 7.5 juta premis, melebarkan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan berpenduduk; mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta melibatkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G selaras dengan memperkukuhkan rangkaian asas bagi 5G.

Sementara, fasa dua (2) pula akan selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Bagi memastikan perancangan ini berjaya dilaksanakan, kerjasama dan sokongan padu dari pihak negeri amatlah penting. Kelancaran dan kesalinghubungan digital yang inklusif akan menjadi asas kepada usaha memacu ekonomi digital Malaysia. Segala usaha ini bukan hanya mampu menarik pelabur dari dalam dan luar negara, malah ianya pasti akan merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar serta dapat memberi lebih manfaat kepada rakyat dan generasi yang akan datang.

PDF

Kongsi artikel ini
Follow