Pusat Media

Panggilan Untuk Kerjasama Dalam Projek Demonstrasi 5G

02 Jul 2019
  • MCMC menjemput pemegang sah Lesen Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) dan Penyedia Perkhidmatan Rangkaian (NSP) yang berminat untuk hantar kertas cadangan bagi Projek Demonstrasi 5G
  • Bertujuan membangun, menguji dan memupuk pelaksanaan keskes kegunaan 5G bagi memanfaatkan pertumbuhan ekosistem 5G negara
  • Serah kertas cadangan anda sebelum tarikh tutup iaitu 15 Julai   
     
CYBERJAYA, 2 Julai 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengumumkan Panggilan Untuk Kerjasama kepada pemegang sah Lesen Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) dan Penyedia Perkhidmatan Rangkaian (NSP) yang berminat, untuk menghantar kertas cadangan bagi Projek Demonstrasi 5G. 

Pengerusi Kumpulan Kerja Ujian Percubaan 5G, Dr. Ahmad Nasruddin ‘Atiqullah Fakrullah berkata, ia bertujuan mencari pemegang lesen yang berminat untuk membangun, menguji dan memupuk pelaksanaan keskes kegunaan 5G dalam memanfaatkan pertumbuhan ekosistem 5G di negara ini. 

Menurut Dr. Ahmad Nasruddin, kertas cadangan daripada para pemohon haruslah merangkumi beberapa aspek berikut umpamanya ujian percubaan penggunaan rangkaian 5G, penyediaan peralatan dan penggunaan teknologi berkenaan (apabila diperlukan) untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan untuk kegunaan-kegunaan kes dan vertikal yang telah dikenal pasti. 

“Bahagian ataupun industri vertikal yang dikenal pasti untuk Panggilan Untuk Kerjasama itu meliputi sektor pertanian, pengangkutan, pendidikan, hiburan dan media, penjagaan kesihatan, pembuatan dan industri pemprosesan, bandar pintar, serta penyelesaian untuk golongan 
kelainan upaya. Para pemohon boleh mencadangkan lokasi pilihan masing-masing untuk projek demonstrasi berkenaan,” kata beliau. 

Para pemohon perlu memastikan kertas cadangan mereka memenuhi kriteria-kriteria seperti berikut:
a) Mempunyai rakan kongsi ekosistem yang menyeluruh termasuk vendor-vendor teknologi, penyedia penyelesaian, dan pengguna akhir yang disasarkan bagi membolehkan kes-kes kegunaan 5G dapat ditunjuk dan dilaksanakan secara bermakna,
b) Mempunyai sumber-sumber, kepakaran dan pembiayaan yang mencukupi untuk menyokong Projek Demonstrasi 5G. Semua kos yang berkaitan dengan Projek Demonstrasi 5G itu akan ditanggung oleh pihak yang terlibat,
c) Mencadangkan satu model perniagaan yang sesuai untuk penggunaan mampan kes-kes kegunaan dalam skala lebih besar di Malaysia pada penghujung Projek Demonstrasi 5G, dan
d) Diterajui dan diuruskan oleh mereka yang berpengalaman, mempunyai kredibiliti dan integriti.  

Pemohon yang berminat adalah digalakkan untuk menghantar kertas cadangan mereka kepada Sekretariat Ujian Percubaan 5G dengan mengisi sebuah borang yang disediakan pada pautan berikut, https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/Appendices.pdf dan e-mel kepada [email protected]berserta dokumen yang relevan selewat-lewatnya 15 Julai 2019 ini. 

Semua cadangan yang dikemukakan adalah tertakluk kepada kelulusan oleh pihak MCMC.  

PDF

Kongsi artikel ini
Follow