Pusat Media

Siaran Akhbar: Pengkomersilan 5G Bakal Mengubah Tahap Kesalinghubungan Di Malaysia

09 Jan 2020
PENGKOMERSILAN 5G BAKAL MENGUBAH TAHAP KESALINGHUBUNGAN DI MALAYSIA  
 
  • Malaysia telah kenal pasti 100 kes-kes kegunaan 5G dengan pelaburan permulaan sejumlah RM143 juta daripada pihak industri
  • Sumbangan teknologi 5G kepada ekonomi negara akan mencecah RM12.7 bilion bagi tempoh antara 2021 sehingga 2025 dan mewujudkan lebih 39,000 peluang pekerjaan baharu.   
CYBERJAYA, 9 Januari 2020 --- Pengkomersilan teknologi generasi kelima (5G) menjelang suku ketiga tahun 2020 bakal mengubah tahap kesalinghubungan dalam negara, sekaligus meletakkan Malaysia antara negara yang terawal di rantau ASEAN untuk melaksanakan 5G. 

5G bukan sahaja berkisar kepada usaha untuk meningkatkan kelajuan dan kesalinghubungan semata-mata, tetapi ia adalah pemboleh ubah penting ekonomi negara yang akan mempengaruhi kehidupan rakyat, perniagaan serta kerajaan secara holistik. 

Laporan terkini oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengenai impak ekonomi pelaksanaan perkhidmatan 5G di Malaysia menjangkakan, sumbangan daripada teknologi 5G kepada ekonomi negara akan mencecah RM12.7 bilion bagi tempoh antara tahun 2021 sehingga 2025. Ia mampu mewujudkan lebih 39,000 peluang pekerjaan baharu sepanjang tempoh tersebut. 

Bagi menggalakkan pembangunan ekosistem 5G, geran dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta disediakan untuk merangsang penerimaan kes-kes kegunaan 5G oleh pihak industri dan sektor awam, merentasi vertikal-vertikal seperti automotif, pembuatan, keselamatan awam, pendidikan, pertanian, pelancongan, hiburan dan media. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pihak berkepentingan dan syarikat-syarikat telekomunikasi iaitu Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Edotco Malaysia Sdn Bhd, Maxis Broadbrand Sdn. Bhd. Berhad, Telekom Malaysia Berhad, U Mobile Sdn Bhd, Petroliam Nasional Berhad dan YTL Communications Sdn Bhd - turut menjalankan projek demonstrasi 5G di enam (6) buah negeri yang melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM143 juta.  

Sebanyak 100 kes-kes kegunaan 5G di bawah sembilan (9) vertikal telah dikenalpasti iaitu pertanian, pendidikan, hiburan/media, penjagaan kesihatan, pengilangan, minyak dan gas, bandar pintar, pengangkutan pintar dan pelancongan. 

Sebagai sorotan, persediaan Malaysia ke arah pelaksanaan teknologi 5G bermula apabila Pasukan Petugas Khas 5G yang dianggotai oleh 114 ahli daripada kalangan penyedia perkhidmatan, pihak akademik, kementerian-kementerian dan agensi berkaitan diwujudkan pada November 2018. Pasukan Petugas tersebut yang diamanahkan untuk mengesyor strategi pelaksanaan 5G negara telahpun memuktamadkan saranan mereka dan Laporan Akhir itu akan diserahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo semasa Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia di Langkawi, 20 Januari ini. 

Usaha MCMC untuk memperkenalkan kepada rakyat mengenai teknologi 5G diperhebatkan dengan penganjuran Pameran 5G Malaysia dari 18 hingga 21 April 2019 lalu. Bertempat di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Pameran 5G Malaysia memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan menikmati secara langsung manfaat daripada teknologi tersebut. Hampir 10,000 pengunjung melawat pameran selama empat hari itu. 

Bermula dari 1 Julai 2019 sehingga 30 Ogos 2019 pula, MCMC telah mengumumkan jemputan untuk kerjasama kepada para pemegang sah lesen Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) dan Penyedia Perkhidmatan Rangkaian (NSP) untuk mengemukakan kertas cadangan bagi Projek Demonstrasi 5G. Ia bertujuan untuk membangun dan menguji kes-kes kegunaan 5G di Malaysia.  

Pada 31 Disember 2019, MCMC telah mengumumkan Laporan Akhir berhubung peruntukan  spektrum bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih negara bagi jalur spektrum 700 MHz, 2300 MHz dan 2600 MHz. Menurut laporan itu, MCMC telah mengenal pasti jalur spektrum 700 MHz, 3.5 GHz dan 26/28 GHz sebagai jalur spektrum rintis untuk pelaksanaan 5G di Malaysia. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan merasmikan Projek Demonstrasi 5G di Langkawi, Kedah pada 19 Januari 2020, diikuti oleh lawatan ke tapak kes-kes kegunaan terpilih pada keesokan hari antaranya 5G Command Centre (5GCC) di bandar Kuah, Hospital Sultanah Maliha dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) bagi meninjau sendiri perkembangan mutakhir projek-projek terbabit. 

Bersempena perasmian ini, MCMC juga akan menganjurkan  Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia pada 20 Januari yang mengetengahkan barisan penceramah dan panel dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada penggiat industri bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai perkembangan dan prospek pelaksanaan 5G di Malaysia serta di seluruh dunia. Antara topik-topik yang akan diketengahkan pada persidangan berkenaan termasuk perkongsian pengalaman dan pelaksanaan 5G dari serata dunia.   

PDF
Kongsi artikel ini
Follow