Pusat Media

Aduan Terhadap Pos Malaysia

13 Dis 2018
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius akan aduan pengguna dan komited untuk mengawal selia untuk memperbaiki kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan keseluruhan industri pos dan kurier di Malaysia.   

Sehingga kini, MCMC telah mengeluarkan lebih daripada 120 lesen termasuk kepada pemain kurier antarabangsa utama untuk menyokong industri e-dagang yang semakin membangun. Mempromosi saingan yang sihat adalah amat penting untuk menggalakkan kecekapan perkhidmatan penghantaran dan inovasi.  

Sebagai syarikat penghantaran terbesar di Malaysia, Pos Malaysia (Pos) telah mengambil langkah drastik untuk memperbaiki sistem pos nasional bagi manfaat warganegara ini sama ada di kawasan bandar atau luar bandar. Ini adalah antara langkah-langkah pemulihan yang telah dan akan diambil oleh Pos dalam masa 12 bulan akan datang, susulan daripada saranan YB Menteri pada 12 Julai, 2018 untuk memperbaiki perkhidmatannya;   
  • Penambahbaikan Pusat Pemprosesan Bungkusan Berintegrasi (IPC) Kerja-kerja penambahbaikan telah siap pada bulan Jun 2018 yang memperbaiki dan meningkatkan kapasiti memproses bungkusan. Kapasiti memproses IPC telah meningkat sebanyak 150% dan dapat memproses 300 ribu bungkusan sehari  berbanding dengan 120 ribu bungkusan sehari, sebelum ini. Hasil daripada itu, Pos dapat menguruskan jumlah yang memecah rekod sebanyak 4.4 juta penghantaran bungkusan semasa jualan mega “11.11” yang melangkaui rekod sebelumnya iaitu sebanyak 4 juta bungkusan.  Kapasiti memproses bungkusan Pos akan meningkat lagi kepada 500 ribu bungkusan sehari apabila kemudahan IPC kedua telah siap pada 2019.   
  • Memperkasakan khidmat pelanggannya Pada bulan Ogos 2018, Pos menambah 80 pakar khidmat pelanggan bagi membantu pegawai khidmat pelanggan Pos yang menjadikan keseluruhan tenaga pekerja kepada 150 orang untuk mengendalikan aduan dengan lebih cekap. Sejak itu, Pos mendapati jumlah aduan yang diterima telah berkurang.  
Sebagai tambahan kepada langkah-langkah yang diambil oleh Pos, MCMC akan meningkatkan rejim perlindungan pengguna dengan memperkenalkan kombinasi standard prestasi perkhidmatan minimum dan mekanisma kawalan kendiri kepada semua pemegang lesen pos dan kurier, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012. Sehubungan itu, sesi rundingan akan diadakan bersama pemegang taruh dalam Q1 2019.   
Kongsi artikel ini
Follow