Media & Events

Daerah Kiulu Di Tuaran, Sabah Kini Beralih Ke 4G

18 Aug 2020
Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat memperluaskan liputan 4G di Kiulu, sebuah pekan kecil yang berada di bawah daerah Tuaran, Pantai Barat Sabah.

Usaha tersebut sedang giat dilaksanakan di enam (6) lokasi utama di Kiulu iaitu di Pukak, Lokub, Mantob, Kitapol, Kampung Sinorut dan Kampung Gonipis. Peluasan berkenaan akan meningkatkan liputan data berkelajuan tinggi 4G dan perkhidmatan suara. Ini dilakukan bersamaan proses penyambungan gentian optik kesemua menara pemancar di lokasi berkenaan yang melibatkan hampir 39 kilometer gentian optik. Proses berkenaan dijangka siap pada akhir tahun 2020.

Sebelum ini, daerah Kiulu hanya mempunyai liputan radio Spotty yang disokong dengan perkhidmatan 3G.

Infrastruktur digital yang didirikan ini akan digunakan oleh semua penyedia perkhidmatan dalam memenuhi keperluan penduduk setempat dengan memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan pengalaman pengguna yang lebih memuaskan, selain merancakkan lagi aktiviti ekonomi, dan ekopelancongan di Kiulu.

Kerajaan sentiasa memberi tumpuan dalam menambah baik infrastruktur digital dan liputan jalur lebar di kawasan-kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak. Kini, usaha itu dipergiatkan dengan kadar segera berikutan pandemik COVID-19 yang telah memberikan impak kepada gaya hidup rakyat selain memperlihatkan keperluan bagi mempertingkatkan liputan jalur lebar dan infrastruktur digital sebagai persiapan rakyat mendepani norma baharu pasca COVID19.

Kesemua usaha penambahbaikan infrastruktur digital ini akan menggunakan dana Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

PDF
Share this article
Follow