Pusat Media

Proses Fast Track Untuk Selesaikan Isu Capaian Di Kawasan Keutamaan Tinggi

03 Mac 2021
Demi memastikan perkhidmatan yang lebih baik kepada Rakyat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mewujudkan proses fast track untuk menyelesaikan isu-isu capaian di kawasan yang dikenal pasti sebagai keutamaan tinggi. Langkah ini diambil berikutan aduan pengguna baru-baru ini tentang kelewatan pemasangan perkhidmatan komunikasi di beberapa kawasan keutamaan tinggi akibat rundingan komersial yang berlarutan antara syarikat-syarikat pemberi perkhidmatan.

Inisiatif ini yang disokong dengan pelaksanaan JENDELA, diambil bagi memastikan pengguna mendapat akses perkhidmatan komunikasi yang berkualiti dalam tempoh yang berpatutan. Usaha ini sangat penting semasa mengharungi pandemik COVID-19 yang meningkatkan pergantungan pengguna, peniaga dan kerajaan terhadap perkhidmatan komunikasi untuk melaksanakan urusan setiap hari.

MCMC mengarahkan syarikat-syarikat pemberi perkhidmatan memuktamadkan rundingan komersil bagi kawasan keutamaan tinggi yang telah dikenal pasti dalam tempoh 10 hari bekerja. Andai tiada persetujuan dalam tempoh tersebut, syarikat-syarikat berkaitan dikehendaki membawa isu berkenaan untuk diputuskan oleh MCMC. MCMC akan melaksanakan penilaian mengenai perkara tersebut dan memberikan arahan kepada penyedia perkhidmatan untuk dipatuhi. Keputusan MCMC dikuat kuasa di bawah undang-undang dan peraturan yang berkenaan.

Kawasan keutamaan tinggi yang dikenal pasti oleh MCMC adalah seperti berikut:

1. Pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dan Negeri;
2. Hab pengangkutan (contohnya stesen MRT, lapangan terbang dan stesen kereta api) dan jaluran pengangkutan (contohnya landasan kereta api dan lebuh raya);
3. Kawasan berimpak tinggi ekonomi (contohnya taman industri dan koridor ekonomi);
4. Projek kerajaan yang dikenal pasti di bawah RMK-12;
5. Projek JENDELA;
6. Kawasan keutamaan tinggi bagi pelaksanaan 5G; dan
7. Kawasan yang mempunyai pemberi perkhidmatan eksklusif.

Syarikat pemberi perkhidmatan telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Proses fast track ini berkuat kuasa serta-merta serentak dengan penerbitan kenyataan ini. Syarikat pemberi perkhidmatan dikehendaki mengemukakan isu-isu dengan perincian yang relevan untuk diputuskan oleh MCMC melalui salinan elektronik kepada [email protected].

 

PDF

Kongsi artikel ini
Follow