Pusat Media

Langganan Jalur Lebar Talian Tetap Melonjak Lapan Kali Ganda Ketika Pengguna Nikmati Kelajuan Internet Yang Lebih Pantas

06 Mac 2019
LANGGANAN JALUR LEBAR TALIAN TETAP MELONJAK LAPAN KALI GANDA KETIKA PENGGUNA NIKMATI KELAJUAN INTERNET YANG LEBIH PANTAS
 
CYBERJAYA, 6 Mac 2019 --- Jumlah langganan jalur lebar talian tetap dengan kelajuan lebih 100Mbps telah meningkat dengan mendadak dari 150,000 pada 2017 kepada 1.2 juta pada 2018. Penyebab utama lonjakan itu adalah pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) yang telah mengakibatkan harga borong rangkaian menurun. Ini membolehkan pembekal perkhidmatan internet dalam industri menurunkan harga jualan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan pada masa yang sama meningkatkan kelajuan kesalinghubungan.

Langganan Jalur Lebar Talian Tetap dengan Kelajuan, 2017-2018

 
Teknologi rangkaian gentian optik yang menjanjikan kelajuan lebih tinggi, kependaman rendah dan perkhidmatan yang lebih berkualiti akan menjadi teknologi yang paling pesat membangun dengan purata peningkatan tahunan sebanyak 11.9% dalam tempoh yang diramalkan (2019-2025).
“Kerajaan merancang untuk menyediakan rakyat dengan kesalinghubungan yang lebih baik menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang akan terus merangsangkan kadar langganan untuk jalur lebar berkelajuan tinggi di seluruh negara,” kata Al-Ishsal Ishak, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Langganan jalur lebar di Malaysia telah meningkat lebih dua kali ganda sepanjang lima tahun ini untuk mencapai 39.4 juta pada 2018. Data baharu yang dikeluarkan oleh MCMC menunjukkan pertumbuhan langganan jalur lebar mudah alih  lebih mencerminkan peningkatan kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk dari hanya 68.3% pada 2014 kepada 121.1% pada 2018, bersamaan dengan 15.4% purata pertumbuhan tahunan.
 
Kadar Penembusan Jalur Lebar setiap 100 penduduk (%), 2014-2018

Lonjakan ini dicetuskan oleh capaian liputan 3G dan 4G/LTE yang lebih meluas, kualiti rangkaian yang lebih baik dan peningkatan persaingan dalam pasaran jalur lebar. Pada 31 Disember 2018, liputan populasi rangkaian 3G dan 4G/LTE, masing-masing diperluaskan hingga 94.7% dan 79.7%. Dalam pada itu, Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) meliputi lebih 5.5 juta premis di seluruh negara berbanding 3.5 juta pada 2015.

Pada Februari 2019, Speedtest Global Index oleh Ookla melaporkan bahawa kelajuan muat turun jalur lebar talian tetap di Malaysia meningkat lebih tiga kali ganda kepada 70.18Mbps berbanding 22.26Mbps pada tahun sebelumnya. Kini, Malaysia menduduki tangga ke-28 di dunia berbanding ke-56 pada 2017.
Purata Kelajuan Muat Turun Jalur Lebar Talian Tetap (Mbps), 2017-2018

“Selari dengan NFCP, matlamat paling utama ialah untuk menjamin kesalinghubungan digital yang berkualiti dan mampu dimiliki tersedia dengan meluas,” jelas Al-Ishsal.
 
Tamat
Kongsi artikel ini
Follow