Media & Events

Fungsi Dan Peranan Pusat Internet Komuniti Dimantapkan

21 Sep 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperhebat usaha meningkatkan kesalinghubungan di seluruh negara termasuk memantapkan fungsi Pusat Internet Komuniti (PIK) agar rakyat bukan sahaja berpeluang menikmati perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti bahkan juga memperbaiki taraf sosioekonomi mereka.

Justeru, pelbagai inisiatif kini giat digerakkan ke arah mencapai objektif-objektif tersebut. Antaranya, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA yang memberi keutamaan kepada projek membangunkan infrastruktur komunikasi di negeri Sabah dari 2020 sehingga 2022. Di bawah JENDELA, Sabah adalah penerima terbesar peruntukan iaitu sebanyak RM2.45 bilion.

Selain itu, inisiatif-inisiatif lain terutamanya untuk PIK seperti proses transformasinya, penambahbaikan perkhidmatan dan pertambahan kandungan atau kursus, pengoptimuman penggunaan PIK serta bantuan dalam aspek pembungkusan dan pemasaran produk kepada golongan usahawan, akan turut dilaksanakan tidak lama lagi.

Melalui proses transformasi ke atas PIK, ia mampu memberi lonjakan kepada pertumbuhan ekonomi digital yang pesat berkembang di negara ini. Pada masa yang sama, proses transformasi tersebut juga boleh dimanfaatkan bagi memastikan PIK berdaya maju dan menjadi sebuah pusat tumpuan aktiviti ekonomi penduduk.
 
Sehubungan itu, MCMC telah menyediakan 133 PIK untuk memberi bimbingan digital kepada rakyat di negeri Sabah. Kewujudan PIK akan menjadi platform penting kepada mereka untuk memperkasakan aktiviti ekonomi mereka selain menambah sumber pendapatan selain memperluas jaringan produk mereka ke seluruh dunia.

Sementara itu, majlis perasmian Pejabat MCMC Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang baharu oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah pada 18 September yang lalu, akan menjadi penghubung penting antara Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah dengan MCMC.

Pada majlis tersebut juga, Dato’ Saifuddin diberikan taklimat oleh pegawai MCMC mengenai perkembangan semasa pelaksanaan JENDELA untuk negeri Sabah yang mana Sabah merupakan penerima terbesar di bawah inisiatif JENDELA.

PDF
Share this article
Follow