Media & Events

Gunakan Peruntukan 1GB Sehari (30GB Sebulan) Sebaiknya Untuk Ikuti Pengajaran (Cont')

02 Feb 2021
GUNAKAN PERUNTUKAN 1GB SEHARI (30GB SEBULAN) SEBAIKNYA UNTUK IKUTI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI RUMAH

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa mengalu-alukan bantuan dari syarikat pemberi perkhidmatan yang prihatin untuk turut sama membantu menjayakan PdPR, iaitu Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan Telekom Malaysia (TM). Oleh itu, pelanggan perkhidmatan telekomunikasi, terutamanya golongan pelajar, guru dan ibu bapa, dinasihat untuk menggunakan peruntukan 1GB data percuma setiap hari atau 30GB data percuma sebulan, sebaik-baiknya bagi tujuan. Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Tawaran 1GB data percuma setiap hari atau 30GB sebulan dilanjutkan sehingga 30 April 2021.

Peruntukan data percuma sejak April 2020 ini adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu. Bagaimanapun, ianya tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, permainan dalam talian dan penstriman muzik.

Selain itu, pihak industri telekomunikasi juga menyediakan pakej langganan khas untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sejak 6 Januari 2021 hingga akhir April ini. Pakej prabayar oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan TM ini menawarkan pas data 15GB dengan harga serendah RM20 sebulan. Pengguna pakej ini turut dapat menikmati peruntukan 1GB data percuma tambahan setiap hari seperti juga pelanggan pakej lain.

Sementara itu, YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) turut sama melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 April 2021 dan turut merangkumi penuntut IPT. Pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

Semua usaha ini diharap dapat membantu mengurangkan bebanan ibu bapa, guru dan pelajar untuk mengikuti PdPR serta memastikan pendidikan generasi muda diberi keutamaan sewajarnya.
 

PDF

Share this article
Follow