Pusat Media

Iklan Raya Judi Yang Tidak Senonoh: MCMC Ambil Tindakan

16 Apr 2021
Kegiatan judi dan promosi judi dalam talian adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 12 Mac 2021 lalu juga telah mengoperasikan tindakan sekatan secara laluan pantas (‘fast-track’) dengan mengupayakan pihak PDRM mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet untuk menyekat akses ke atas laman sesawang yang melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta yang sama.

Susulan penyiaran iklan yang didapati mengajak umat Islam di negara ini untuk berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tular di media sosial ketika ini, MCMC memaklumkan, pihaknya telah berkomunikasi dengan pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan berkenaan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka, yang berpangkalan di luar negara.

Pada masa yang sama, pihak yang terlibat seperti pihak produksi dan pelakon seharusnya perlu lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas merupakan satu kesalahan.

Penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan. Dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk.

Pengguna media sosial juga perlulah lebih bertanggungjawab dengan melaporkan perkara-perkara sebegini secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan mereka dan bukannya menyebarluaskan kandungan berkenaan. Perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia.


PDF
Kongsi artikel ini
Follow