Pusat Media

JENDELA Beri Keutamaan Kepada Projek Pembangunan Infrastruktur Komunikasi Sabah

04 Sep 2020
Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos lalu adalah satu inisiatif oleh Kerajaan dan pemain industri bagi mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur yang lebih cepat dan menyeluruh.

JENDELA merupakan perancangan semula pelan terdahulu iaitu Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), yang dirangka sebelum pandemik COVID-19 melanda. Perubahan norma baharu pasca COVID-19 menyaksikan perubahan ketara corak penggunaan Internet dan perkembangan ini menambah kebergantungan terhadap aspek digital untuk pembangunan semula masyarakat dan ekonomi.

Bagi rakyat negeri Sabah yang sepatutnya mendapat manfaat terbesar di bawah projek NFCP1, pelaksanaan JENDELA tetap memberi keutamaan kepada projek membangunkan infrastruktur komunikasi di negeri itu dari 2020 sehingga 2022. Penambahan sebanyak 382 menara komunikasi baharu yang sedang dirancang dan penaiktarafan 924 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

Selain itu, 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial oleh penyedia perkhidmatan bagi meningkatkan liputan 4G. Sebanyak 251,166 premis akan turut disediakan dengan capaian kepada gentian optik. Turut mendapat perhatian ialah pembinaan sebuah menara telekomunikasi baharu untuk memberi perkhidmatan 4G kepada penduduk di Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah. Projek ini sedang dilaksanakan di bawah NFCP1 dan dijangka siap menjelang suku kedua 2021.

Melalui pelan JENDELA, sasaran-sasaran yang ditetapkan di bawah NFCP telah ditambah baik dan dipercepatkan bagi menghadapi cabaran-cabaran besar pasca COVID-19. Kejayaan pembangunan infrastruktur komunikasi di bawah JENDELA adalah penting untuk menjadi landasan transformasi digital demi kelangsungan sosioekonomi negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama-sama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan mendukung komitmen untuk memberi pengalaman terbaik kepada rakyat dan menjana pembangunan semula negara melalui penyediaan infrastruktur komunikasi yang mampan.

PDF

Kongsi artikel ini
Follow