Pusat Media

Kenyataan Media: Sebar Berita Palsu Wabak Coronavirus (2019-nCov): Seorang Individu Ditahan (Con't)

29 Jan 2020
CYBERJAYA  29 Januari 2020  

SEBAR BERITA PALSU WABAK NOVEL CORONAVIRUS (2019-nCov): SEORANG INDIVIDU DITAHAN UNTUK MEMBANTU SIASATAN  

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM)  telah menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) pada 28 Januari 2020.  

Suspek berumur 34 tahun itu telah ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor pada jam 4:00 petang Selasa bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di laman Facebook pada 26 Januari 2020. Kandungan mengenai wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) itu didapati palsu. Turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik kandungan tersebut di laman Facebook terbabit.  
Suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau keduaduanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.  

Tindakan tegas ini adalah salah satu usaha MCMC dan PDRM untuk mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab sehingga mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam.  

Pada 27 Januari, MCMC bersama-sama dengan PDRM telah memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan Novel Coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia.  

Penyebar khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan  ketakutan atau kegentaran awam pula boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.  

MCMC dan PDRM mengambil serius akan perbuatan ini dan sedang giat mengesan tiga (3) lagi suspek untuk membantu siasatan. Ini menunjukkan ketegasan kedua-dua pihak dalam memastikan tindakan sewajarnya dikenakan kepada mereka yang memulakan, berkongsi dan menyebarkan berita palsu melalui platform media sosial. 


 PDF

Kongsi artikel ini
Follow