Media & Events

Kapasiti Gerbang Sabah Dipertingkat Untuk Memacu Agenda Jalinan Digital Negara (JENDELA) Di Sabah

17 Sep 2020
Pelancaran Gerbang Sabah, iaitu stesen pendaratan kabel gentian optik dasar laut di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin malam tadi, mengukuhkan komitmen kerajaan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memajukan kemudahan jalur lebar di seluruh Sabah melalui inisiatif JENDELA.

Kapasiti Gerbang Sabah akan terus dipertingkatkan lebih tiga (3) kali ganda daripada keupayaan asal 4Tbps kepada 12.8 Tbps dalam tempoh tiga (3) tahun akan datang. Ini akan melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta ke atas pelaburan asal RM575.5 juta yang telah dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebanyak RM383.7 juta dan Telekom Malaysia Berhad (TM) sebanyak RM191.8 juta.

Sabah sebagai penerima terbesar manfaat JENDELA akan menyaksikan pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang agresif, terutamanya di 30 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikenal pasti paling ketinggalan daripada segi kemudahan telekomunikasi. Sehingga 2022, 419 menara telekomunikasi baharu akan dibina di seluruh Sabah, manakala 1,972 pemancar akan dinaik taraf kepada 4G. Sebanyak 251,166 tambahan premis akan disediakan dengan sambungan talian tetap gentian optik. Keseluruhan kos yang dianggarkan adalah sebanyak RM2.45 bilion untuk penambahan dan penambahbaikan ini.

Bagi membantu rakyat Sabah meningkatkan taraf hidup seiring dengan pelaksanaan JENDELA, MCMC juga akan menyusun semula peranan 133 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang telah diwujudkan di negeri ini. Peranan PIK untuk membangunkan kemahiran penggunaan Internet dan penglibatan e-dagang dalam kalangan komuniti luar bandar, akan diperkemaskan agar limpahan perkhidmatan, pengetahuan dan peluang ekonomi yang dicetuskan oleh pelaksanaan JENDELA dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat termasuk penduduk di kawasan pedalaman Sabah.

PIK yang sedia ada akan menjalani suatu proses perubahan dengan peruntukan RM13 juta untuk memperkasakan aktiviti setempat agar, bukan sahaja PIK menjadi tempat membangunkan kemahiran penggunaan Internet dan e-dagang, malahan ia juga akan menjadi tempat yang akan menjana peluang pekerjaan baharu, limpahan daripada peningkatan aktiviti e-dagang serta penyediaan lebih banyak perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan rakyat setempat.

JENDELA mempunyai matlamat untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang mampan dan pengalaman penggunaan jalur lebar yang mantap kepada seluruh rakyat Malaysia bagi menyokong dasardasar ke arah pembangunan ekonomi digital yang dirancang oleh Kerajaan. Inisiatif JENDELA juga menjadi keperluan untuk membantu rakyat Malaysia beralih kepada norma baharu selepas pandemik COVID19 yang menyaksikan lebih banyak pergantungan kepada perkhidmatan digital untuk meneruskan kehidupan dan menjana pendapatan.

Gerbang Sabah di Tanjung Aru yang diuruskan oleh TM menempatkan pusat pendaratan Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) yang menjadi titik sambungan jalur lebar Sabah ke dunia luar. Kapasiti yang ada di Gerbang Sabah akan disalurkan oleh penyedia perkhidmatan jalur lebar lain untuk menghubungkan ibusawat, menara-menara telekomunikasi dan pelbagai peranti Internet di seluruh Sabah.

PDF
Share this article
Follow