Pusat Media

Kecekapan Operasi Pos Malaysia Di Sabah Dipertingkat Bagi Mengukuhkan Kegiatan Ekonomi Digital

18 Ogo 2020
Di Sabah, sepanjang Januari hingga Julai 2020, jumlah bungkusan Pos Laju telah meningkat sebanyak 41% kepada 4.86 juta unit berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini memberi isyarat bahawa rakyat Sabah semakin aktif dalam arena e-dagang.

Aktiviti e-dagang dapat meningkatkan ekonomi Sabah terutama apabila penjualan barangan Sabah dapat ditingkatkan. Ini memerlukan prasarana sokongan yang mampan, termasuk perkhidmatan pos dan kurier yang cekap.

Penubuhan Pusat Pos Laju terbaru di Lok Kawi, Sabah yang mampu mengendalikan 60,000 bungkusan sehari adalah lonjakan dari kapasiti 4,000 bungkusan sehari sekaligus memberi peluang pekerjaan baharu kepada penghantar sambilan atau Pos Riders yang kini berjumlah 204 orang. Operasi Pusat Pos Laju Lok Kawi menjadikan khidmat penghantaran lebih cepat dan sistematik di kawasan liputannya serta mengatasi kelewatan penghantaran yang terjadi akibat peningkatan aktiviti e-dagang semasa pandemik COVID-19.

Agenda memajukan perkhidmatan pos dan kurier di Sabah dan Sarawak diberikan sokongan padu oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menepati keperluan pengguna.

Setakat ini, di seluruh Sabah terdapat 44 Pejabat Pos, enam (6) Pos Mini, lapan (8) Pusat Pos Laju, satu (1) Kiosk Pos Laju, empat (4) Pusat Pemprosesan Mel dan sembilan (9) Pos Bergerak.

MCMC berharap Pos Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai peneraju sektor pos dan kurier negara.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow