Pusat Media

Kenyataan Media: Operasi Ibu Pejabat MCMC Berjalan Seperti Biasa

09 Mac 2020
OPERASI IBU PEJABAT MCMC BERJALAN SEPERTI BIASA
 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan bahawa operasi ibu pejabatnya di Cyberjaya berjalan seperti biasa mulai Isnin, 9 Mac 2020, selepas pembersihan “nano misting” telah selesai dilaksanakan di seluruh ruang pejabat pada 5 dan 6 Mac 2020 yang lalu.
 
Pada 25 Februari 2020, MCMC telah mengaktifkan kerangka MCMC Pelan Kesinambungan Perniagaan (PKP) yang menggariskan beberapa langkah seperti memberi pilihan kepada kakitangan untuk bekerja dari rumah, mengenal pasti fungsi kerja yang kritikal, dan mengenal pasti pejabat alternatif yang sesuai digunakan untuk memastikan kesinambungan operasi MCMC.
 
Semenjak 2 Mac 2020 juga, semua mesyuarat dengan pihak luar telah dilakukan secara telesidang. MCMC amat menggalakkan penggunaan teknologi untuk memastikan tanggungjawab dan peranan Suruhanjaya diteruskan dalam apa jua keadaan sekalipun. Pendekatan sebegini bukan sahaja mampu menjimatkan masa dan kos perjalanan, bahkan ia juga dapat memupuk tatakerja inovatif ke arah transformasi digital.
 
MCMC juga telah melaksanakan beberapa inisiatif demi mengutamakan keselamatan dan kesihatan kakitangannya serta pelawat seperti penyediaan sanitiser di setiap aras dan tempat umum dari 30 Januari dan pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dari 28 Februari.
 
Prosedur pembersihan “nano misting” diteruskan secara berperingkat bermula hari ini di semua Pejabat Negeri MCMC di seluruh negara.
 
MCMC sentiasa mengambil serius akan tanggungjawabnya untuk memastikan seluruh kakitangan dan pihak berkepentingan yang berurusan dengan pihaknya tidak terdedah kepada ancaman COVID-19.
 
-Tamat-

PDF
Kongsi artikel ini
Follow