Media & Events

Kesalahan Pendaftaran Kad Sim Prabayar Tanpa Buat Pengesahan Maklumat Pengguna (Con't)

09 Dec 2020
KESALAHAN PENDAFTARAN KAD SIM PRABAYAR TANPA BUAT PENGESAHAN MAKLUMAT PENGGUNA: MCMC KELUARKAN KOMPAUN BERNILAI RM750,000 KEPADA SYARIKAT TELEKOMUNIKASI

CYBERJAYA, 9 Disember 2020 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan sebanyak 15 kompaun bernilai RM750,000 pada 4 Disember 2020 lalu kepada lima (5) syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran kad sim prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

Tindakan tersebut diambil berdasarkan kepada audit yang dijalankan oleh MCMC di Pahang, Kelantan dan Terengganu sekitar bulan Ogos dan Oktober tahun lepas.

Dengan pengeluaran kompaun terbaru tersebut, ini bermakna jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang tahun 2020 adalah sebanyak 70 kompaun bernilai RM3.45 juta. Jumlah berkenaan adalah 16% lebih tinggi berbanding dengan 58 kompaun bernilai RM2.9 juta yang dikeluarkan pada tahun 2019 bagi kesalahan yang sama.

Kesalahan pendaftaran kad sim prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mendahului senarai penerima jumlah kompaun tertinggi ialah syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd yang telah ditawarkan kompaun paling tinggi iaitu lima (5) kompaun bernilai RM250,000. Ini diikuti dengan Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat (4) kompaun bernilai RM200,000. Manakala U Mobile Sdn Bhd pula ditawarkan tiga (3) kompaun bernilai RM150,000. Seterusnya, Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd masing-masing ditawarkan dua (2) kompaun bernilai RM100,000 dan satu (1) kompaun bernilai RM50,000.

SENARAI NAMA-NAMA SYARIKAT TELEKOMUNIKASI YANG DIDENDA ATAS KESALAHAN PENDAFTARAN KAD SIM PRABAYAR PALSU


Tindakan yang diambil ini menunjukkan usaha tegas yang berterusan oleh MCMC dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes-kes penipuan atau scam secara dalam talian yang semakin meningkat.

PDF

Share this article
Follow