Media & Events

Lapor Kandungan Berbaur Perkauman, Agama Dan Institusi Diraja Di Media Sosial Terus Kepada MCMC

17 Aug 2019
LAPOR KANDUNGAN BERBAUR PERKAUMAN, AGAMA DAN INSTITUSI DIRAJA DI MEDIA SOSIAL TERUS KEPADA MCMC 
 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa rakyat Malaysia supaya tampil melaporkan insiden atau kandungan berunsur 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi DiRaja) di media sosial terus kepada suruhanjaya melalui aplikasi Whatsapp di talian 016 220 6262 atau e-mel kepada [email protected]
 
Platform ini akan memudahkan proses bagi mempercepatkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap kandungan 3R dengan kerjasama pihak-pihak yang berkepentingan. 
 
Rakyat Malaysia diminta mengambil tangkapan skrin (screenshot) dan pautan (URL) kepada kandungan yang tidak berhemah di media sosial dan hantar ke talian seperti tertera di atas. Bagi kandungan negatif yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp pula, sila mengambil tangkapan skrin berserta nombor telefon individu bagi tujuan aduan. 
 
Sementara itu, MCMC mengingatkan rakyat Malaysia agar mengamalkan sikap kesederhanaan ketika mengulas mengenai isu-isu sensitif bagi memelihara keharmonian dan kedamaian yang telah negara capai melalui persefahaman yang dibina sejak 62 tahun yang lalu.  
 
Sebarang ulasan dan penyebaran kenyataan berunsur negatif serta mengancam perpaduan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini mestilah dihentikan serta-merta demi kepentingan bersama. 
 
“Oleh itu, berfikirlah sebelum anda membuat sebarang kenyataan atau ulasan mengenai perkara-perkara sensitif. Jangan sesekali ‘tweet’, kongsi dan membuat ulasan yang boleh menyinggung perasaan pelbagai kaum di negara ini. Hayatilah erti kemerdekaan dan hormatilah sambutan bulan kemerdekaan yang penuh bermakna ini.  
 
Jadilah rakyat Malaysia yang matang dalam menilai dan membuat pendirian apabila berhadapan dengan ancaman yang boleh memecahbelah perpaduan demi kemakmuran bersama,” kata Pengerusi MCMC, AlIshsal Ishak. 
 
Share this article
Follow