Media & Events

Liputan 4G Seluruh Negara Cecah 94%, Tindakan Proaktif Kerajaan Pacu Kesalinghubungan (Cont')

30 Sep 2021
LIPUTAN 4G SELURUH NEGARA CECAH 94%, TINDAKAN PROAKTIF KERAJAAN PACU KESALINGHUBUNGAN LEBIH BAIK DALAM NEGARA

Usaha pihak Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan di seluruh negara di bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menampakkan perkembangan yang memberangsangkan apabila ketiga-tiga indikator iaitu tahap liputan 4G di kawasan berpenduduk, purata kelajuan jalur lebar mudah alih dan rangkaian gentian optik masing-masing memperlihatkan petanda yang positif.

Dari aspek tahap liputan 4G di kawasan berpenduduk, setakat akhir Ogos 2021, ia sudah mencecah tahap 94% berbanding dengan 91.8% pada September 2020 yakni permulaan pelaksanaan Pelan JENDELA. Selain itu, bagi tempoh yang sama, purata kelajuan jalur lebar mudah alih negara telah mencapai 29.14Mbps dan memperlihatkan peningkatan berbanding dengan 25Mbps. Di samping itu, sejumlah 6.255 juta premis pula telah diliputi dengan rangkaian gentian optik dan jumlah berkenaan adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan 4.95 juta premis pada September 2020.

Secara keseluruhannya, di bawah Pelan JENDELA Fasa 1, sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu akan dibina di kawasan bandar dan luar bandar yang dijangka bermula pada suku akhir tahun 2021. Turut dilaksanakan ialah perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (VSAT) di 839 lokasi di kawasan kurang berpenduduk di pedalaman pada suku keempat 2021 bagi meningkatkan capaian liputan Internet.

Perkembangan pelaksanaan JENDELA yang memberangsangkan ini didorong oleh sokongan padu yang diberikan oleh Kerajaan-kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerjasama oleh pihak industri serta komitmen Kerajaan dalam memastikan kesalinghubungan Internet yang lebih baik sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi digital negara. Laporan Suku Tahun Keempat JENDELA yang memperincikan mengenai perkembangan terkini pelaksanaan JENDELA akan diumumkan pada awal Oktober ini.

Dalam pada itu, tindakan MCMC membangunkan JENDELA Map turut memberi peluang kepada rakyat bukan sahaja untuk mengajukan maklum balas atau aduan kepada penyedia perkhidmatan bagi menambah baik kualiti serta liputan perkhidmatan jalur lebar bahkan juga mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar mereka.

 

PDF

Share this article
Follow