Media & Events

MCMC Ambil Pelbagai Tindakan Tangani Masalah Capaian Internet Di Seluruh Negara

18 Feb 2021
Pelbagai tindakan proaktif terus diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usahanya menangani masalah capaian Internet di seluruh negara agar para penduduk berpeluang untuk menikmati perkhidmatan Internet berkualiti serta menjalani kehidupan yang lebih baik.  

Berikut adalah tindakan-tindakan terkini yang telah diambil oleh MCMC:  

i. Kg. Sri Kledang, Hulu Selangor   

Susulan laporan Berita Harian mengenai sekumpulan pelajar sekolah di Kg. Sri Kledang, Hulu Selangor yang terpaksa belajar di bawah pokok nangka dan di atas bukit dalam ladang kelapa sawit kerana capaian Internet yang lemah, pihak MCMC telah melakukan tinjauan di lokasi aduan dan mengadakan perjumpaan dengan pengadu.   
Sebagai penyelesaian jangka pendek, sebuah menara baharu sedang dibina berdekatan dengan Kg. Sri Kledang dan menara berkenaan dijangka beroperasi pada hujung Mac 2021 ini. Manakala penyelesaian jangka panjang pula akan menyaksikan sebuah menara komunikasi di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dibina di perkampungan Orang Asli Changkat Ramu. Jarak antara menara yang dicadangkan pembinaan di perkampungan Orang Asli Changkat Ramu dengan Kg. Sri Kledang adalah kira-kira 2.1 kilometer. Proses pembinaan menara tersebut dijangka bermula pada awal tahun 2022.     
 
ii. Kg Sungai Tengar, Tebuk Mufrad Sabak Bernam  

Laporan oleh Sinar Harian dan Berita Harian mengenai masalah capaian Internet lemah yang dihadapi oleh para pelajar sekolah di Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar, mendapat perhatian MCMC. MCMC telah mengadakan lawatan ke lokasi aduan dan bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg. Air Tawar, YB Datuk Hj. Rizam bin Hj. Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut selain menyemak kualiti liputan rangkaian telekomunikasi.   

Sebagai penyelesaian jangka pendek, MCMC telah menghubungi syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan untuk melaksanakan pengoptimuman antena menara komunikasi di kawasan-kawasan kampung itu dan dijangka siap menjelang hujung Februari ini. Untuk penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara baharu akan dibina di kawasan aduan di bawah pelan JENDELA dan kerja-kerja pembinaan menara dijangka bermula pada hujung 2021 ini.  

iii. Kampung Orang Asli Tasik Mentiga, Pahang  

Bagi masalah kelemahan liputan selular di Kg. Orang Asli Tasik Mentiga yang mendapat liputan Berita Harian dan Harian Metro, MCMC telah pun mengadakan tinjauan dan bertemu dengan pengadu di lokasi. Untuk penyelesaian jangka pendek, MCMC telah mengarahkan pihak Celcom untuk melaksanakan kerja-kerja pengoptimuman pada menara Kg. Paya Mentiga dan ia dijangka siap pada hujung Mac 2021.   

iv. Kg. Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan  

Laporan oleh Kosmo berhubung capaian Internet lemah di Kg. Kuala Betis, Gua Musang, telah disusuli dengan tindakan oleh pihak MCMC. Satu tinjauan telah dilakukan di lokasi aduan dan MCMC telah mengadakan perjumpaan dengan guru tabika Nur Najihah.   

Justeru, sebagai penyelesaian jangka pendek, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan kerja-kerja pengoptimuman antena menara komunikasi berdekatan bagi meningkatkan kualiti capaian Internet di kawasan terbabit dan dijangka siap dalam hujung Mac 2021. Sementara untuk penyelesaian jangka panjang, sebuah menara baharu dicadang untuk dibina di kawasan Kampung Orang Asli yang terletak kira-kira tiga (3) kilometer dari tadika Nur Najihah di bawah pelan JENDELA akan datang. 
 
v. Kg Payong, Setiu  

Laporan oleh Sinar Harian mengenai masalah capaian Internet di Kg. Payong telah disiasat oleh MCMC. Dalam hal ini, MCMC telah mengadakan lawatan ke lokasi aduan dan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berserta beberapa orang penduduk Kg. Payong bagi mendapatkan maklumat lanjut selain menyemak kualiti liputan rangkaian telekomunikasi. Bagi penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara komunikasi di Kg. Payong akan dinaik taraf di bawah pelan JENDELA dan dijangka bermula pada suku kedua 2021.  

vi. Kg. Bukit Chempedak, Kg. Jerong Seberang, Kg. Jerong Surau dan Kg. Jerong Tuan, Pengkalan Berangan Marang  

Mengenai masalah capaian Internet di beberapa buah kampung iaitu Kg. Bukit Chempedak, Kg. Jerong Seberang, Kg. Jerong Surau dan Kg. Jerong Tuan, Pengkalan Berangan Marang yang dilaporkan oleh Bernama pula, MCMC telah melakukan tinjauan di lokasi aduan iaitu di Kg. Jerung Seberang dan Kg. Bukit Cempedak. Dalam tinjauan itu, MCMC telah berjumpa dengan Penghulu Mukim Wakaf Tapai & Pengerusi JPKK Bukit Cempedak & Jerung Seberang.   

Lantaran itu, pelbagai langkah susulan bakal diambil. Antaranya, menaik taraf menara komunikasi di Kg. Jerung Seberang dan ini akan dilaksanakan di bawah pelan JENDELA yang dijangka bermula pada suku kedua 2021. Di samping itu, sebuah menara komunikasi baharu akan dibina di Kg. Bukit Chempedak di bawah pelan JENDELA yang akan bermula pada awal tahun 2022.
   
MCMC akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan-tindakan yang telah diambil dan sekiranya perlu, mengambil langkah susulan agar masalah capaian Internet di seluruh negara dapat ditangani dengan menyeluruh.  

PDF
Share this article
Follow