Media & Events

MCMC Ambil Tindakan Tangani Masalah Capaian Internet

04 Mar 2021
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil beberapa tindakan dalam usaha menyelesaikan masalah capaian aduan Internet yang dihadapi oleh penduduk di seluruh negara.   

Berikut adalah tindakan-tindakan yang telah diambil di lokasi-lokasi seperti berikut:  

i. Kg. Orang Asli Sungai Belankan Tanjong Sepat, Kuala Langat  

Susulan laporan oleh akhbar Kosmo yang membangkitkan kesukaran seorang pelajar remaja perempuan Orang Asli suku Mah Meri untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan capaian Internet lemah, perkara tersebut telah disiasat oleh MCMC.   

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati, kedudukan rumah pengadu di Kg. Sungai Belankan terletak jauh terpencil di penghujung kampung. Satu ujian liputan telah dijalankan pada akhir Februari lalu dan didapati kualiti liputan selular di rumah pengadu adalah tidak memuaskan.    
Sebagai penyelesaian jangka panjang, sebuah menara komunikasi yang terletak berhampiran di kawasan rumah pengadu akan dinaik taraf kepada 4G di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bakal bermula pada suku ke-2 2021.  

ii. Kg. Orang Asli Lakai Jelebu  

Masalah kesukaran sekumpulan pelajar Orang Asli di Kg. Orang Asli Lakai Jelebu untuk mengikuti PdPR akibat ketiadaan capaian Internet yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, telah disiasat oleh pihak Suruhanjaya.  
  
Siasatan telah dijalankan di kawasan aduan baru-baru ini dan mendapati kawasan berkenaan tidak mempunyai capaian Internet 4G. Di samping itu, satu perjumpaan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Jelebu turut diadakan dengan pihak pengadu. Penggunaan teknologi VSAT (Very Small Aperture Terminal) akan dilaksanakan dan dijangka siap pada hujung tahun 2021 dan inisiatif ini akan dapat memberi manfaat capaian Internet di kawasan aduan kelak.  

iii. Projek Perumahan Rakyat Melana Indah, Tampoi  

Masalah capaian Internet di Projek Perumahan Rakyat Melana Indah, Tampoi yang disiarkan oleh akhbar Kosmo baru-baru ini telah disusuli dengan tindakan oleh pihak MCMC.   
Sebagai penyelesaian jangka pendek, usaha untuk memperbaiki pengoptimuman kekuatan isyarat akan dilakukan dan dijangka selesai dalam suku pertama 2021. Bagi penyelesaian jangka panjang pula, syarikat penyedia perkhidmatan di kawasan berkenaan akan menambah jalur spektrum 4G bagi meningkatkan capaian Internet di kawasan aduan.   

iv. Kg. Sungai Chengkeh, Serkat Pontian  

Mengenai kesukaran tiga adik-beradik untuk mengikuti sesi PdPR kerana capaian Internet lemah yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia, pihak MCMC telah turun padang untuk meneliti masalah yang dihadapi.   
Sebagai penyelesaian jangka pendek, pihak Celcom dan U Mobile telah melakukan kerja-kerja penambahbaikan pada pencawang pada 24 Februari lalu bagi meningkatkan kualiti liputan 4G di kawasan yang dilaporkan. Kerja-kerja penambahbaikan berkenaan dijangka siap pada minggu ketiga bulan Mac 2021.    

Untuk penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara baharu akan dibina di bawah pelan JENDELA dan kerja-kerja pembinaan menara akan bermula pada hujung tahun 2021.  
Sehubungan itu, MCMC akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan-tindakan yang telah diambil dan sekiranya perlu, mengambil langkah susulan agar masalah capaian Internet di seluruh negara dapat   
ditangani dengan menyeluruh sekaligus membolehkan Internet dinikmati oleh semua rakyat.  


PDF

Share this article
Follow