Pusat Media

MCMC And MyCC Bekerjasama Tangani Perjanjian Eksklusif Di Bangunan Tinggi

17 Ogo 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan bekerjasama untuk menangani isu perjanjian eksklusif antara syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pemaju hartanah atau syarikat pengurusan bangunan di bangunan-bangunan tinggi termasuk kompleks-kompleks kediaman berikutan beberapa aduan yang diterima daripada orang awam.

MCMC dan MyCC memandang serius akan perkara ini kerana ia menyekat hak pengguna akhir untuk memilih perkhidmatan telekomunikasi, mengakibatkan harga perkhidmatan jalur lebar yang tinggi dan kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan.

Oleh itu, semua syarikat penyedia perkhidmatan, pemaju hartanah dan syarikat pengurusan bangunan yang telah mengadakan perjanjian eksklusif disarankan untuk mengambil langkah-langkah pemulihan untuk mengatasi isu ini dengan segera. Sekiranya gagal, tindakan yang sewajarnya akan diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan/atau Akta Persaingan 2010.

Baru-baru ini, MCMC telah menerbitkan “Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I)” untuk memudahkan perancangan dan pembangunan infrastruktur komunikasi di dalam pembangunan hartanah baharu. Ia melarang sebarang perjanjian eksklusif antara syarikat penyedia perkhidmatan dan pemaju hartanah ataupun syarikat pengurusan bangunan.

MCMC dan MyCC percaya kerjasama ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada pengguna akhir kerana mereka berpeluang untuk memilih penyedia perkhidmatan berpandukan kepada kualiti perkhidmatan atau harga yang berpatutan. Untuk maklumat lanjut mengenai “Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I)”, sila layari pautan di bawah: https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/GARIS-PANDUAN-PERANCANGAN-INFRASTRUKTUR-KOMUNIKASI-GPP-I-2020.pdf 

PDF
Kongsi artikel ini
Follow