Pusat Media

MCMC Kendalikan 99.83% Aduan Separuh Pertama 2020

12 Ogo 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa mengambil tindakan terhadap setiap aduan. Pada enam (6) bulan yang pertama tahun 2020, MCMC telah menerima sebanyak 11,235 aduan yang berkaitan dengan media baharu seperti penggodaman, perjudian dalam talian, promosi pelacuran, pelanggaran hak cipta, pemalsuan, pornografi, hasutan dan sebagainya. 

Pihak MCMC telah berjaya mengendalikan 11,216 aduan iaitu 99.83% daripada jumlah keseluruhan aduan itu. Ini termasuk sebanyak 80.56% aduan yang telah diberi nasihat, panduan dan pendidikan kepada masyarakat; 18% aduan yang telah dirujuk kepada pihak penyedia platform media sosial untuk tindakan lanjut berasaskan terma dan syarat; serta 1.27% (143 aduan) yang didapati melanggar peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Setelah melalui proses penyiasatan yang rapi, sebanyak tujuh (7) kes telah didakwa di mahkamah. Selebihnya dalam pelbagai peringkat siasatan seperti menunggu keputusan atau arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara. 

Sementara itu, aduan-aduan yang berada di luar bidang kuasa MCMC adalah sebanyak 0.17% dan ia telah dirujuk kepada agensi-agensi berkenaan untuk tindakan lanjut.  

MCMC sentiasa tegas dalam menangani isu-isu penyalahgunaan media sosial dan usaha penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara. Oleh itu, orang ramai diminta tampil membuat aduan sekiranya terdapat maklumat mengenai penyalahgunaan media sosial atau internet melalui portal https://aduan.skmm.gov.my atau e-mel kepada [email protected].  

PDF 
Kongsi artikel ini
Follow