Pusat Media

MCMC Mencari Teknologi Baharu Untuk Menangani Keperluan Jalur Lebar Di Bawah Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara

18 Feb 2019

MCMC MENCARI TEKNOLOGI BAHARU UNTUK MENANGANI KEPERLUAN JALUR LEBAR DI BAWAH PELAN GENTIAN OPTIK DAN KESALINGHUBUNGAN NEGARA

GEORGETOWN, 18 Februari 2019 --- Pada hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan bahawa ia terbuka kepada inisiatif yang diterajui oleh pihak industri sebagai sebahagian daripada peluasan usahanya untuk mencapai matlamat Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Pengumuman itu berikutan pelancaran projek rintis pasaran syarikat YTL Communications dan Facebook Terragraph di bandar Georgetown yang mampu menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang boleh dipercayai, mampu dimiliki dan berkelajuan tinggi di bandar warisan itu. Projek rintis pasaran yang memakan masa enam bulan itu akan menyediakan kemudahan Wi-Fi awam dan Akses Talian Tetap Tanpa Wayar yang berpotensi untuk mengatasi cabaran yang dihadapi dalam kawasan bandar seperti peningkatan lebar jalur setiap kilometer persegi; infrastruktur tembaga sedia ada; kos pemasangan kabel gentian optik yang tinggi; dan spektrum berfrekuensi rendah yang terhad.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo telah hadir untuk menyaksikan pelancaran tersebut bersama-sama Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak dan ahli-ahli Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Jika teknologi ini mampu membawa kelajuan Gigabit kepada kawasan yang padat penduduknya dengan hanya sebahagian kecil daripada kos untuk gentian optik, kita boleh mempertimbangkannya untuk menjadi sebahagian daripada NFCP,” kata Al-Ishsal.

Pada 8 Januari 2019, projek rintis pertama bagi NFCP telah berjaya dilancarkan di Jasin, Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Perbandaran Jasin, Setia Haruman Technology (sebuah anak syarikat TNB Berhad) dan MCMC.

“NFCP ialah inisiatif Kerajaan untuk menyediakan kesalinghubungan digital yang kukuh, meluas, berkualiti tinggi dan mampu dimiliki. Pelan selama lima tahun ini akan menjadi salah satu pembangkit ekonomi untuk kita bergerak menuju Revolusi Industri Ke-empat,” kata Al-Ishsal.

Tujuan-tujuan utama NFCP termasuklah mempunyai kelajuan berpurata 30Mbps meliputi 98% kawasan berpenduduk dan ketersediaan Gigabit di semua ibu negeri menjelang 2023, yang akan dicapai melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh MCMC dan pihak industri.

“Lebih banyak projek rintis akan dilaksanakan khususnya di Sabah dan Sarawak. Kerajaan komited untuk menyediakan akses internet kepada semua kerana ia bukanlah satu keistimewaan atau kemewahan. Akses kepada internet sudah menjadi satu keperluan kepada rakyat dan asas penting kepada pembangunan masa depan negara,” kata Al-Ishsal.
 

Kongsi artikel ini
Follow