Media & Events

MCMC Meraikan Syarikat-Syarikat Pos Dan Kurier Pada Majlis Anugerah Industri Penghantaran E-Dagang 2019

14 Nov 2019
MCMC MERAIKAN SYARIKAT-SYARIKAT POS DAN KURIER PADA MAJLIS ANUGERAH INDUSTRI PENGHANTARAN E-DAGANG 2019  

• Pos Malaysia Berhad meraih empat (4) anugerah iaitu Anugerah Kecemerlangan Keselamatan Jalan Raya untuk kategori Pemandu Van dan Lelaki Terbaik; Anugerah Pekerja Terbaik Industri dan Anugerah Peningkatan Prestasi Terbaik
• City-Link Express Sdn Bhd pula mendapat tiga (3) anugerah iaitu Anugerah Kecemerlangan Keselamatan Jalan Raya bagi kategori Pemandu Lori Terbaik; Anugerah Tanggungjawab Korporat Sosial Terbaik dan Anugerah Kecemerlangan Penghantaran
• Kategori baharu iaitu Anugerah Peningkatan Prestasi Terbaik diperkenalkan sebagai tanda penghargaan kepada para pemain yang telah pamerkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya  

CYBERJAYA, 14 November 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) telah meraikan para pemain industri pos dan kurier di Majlis Anugerah Industri Penghantaran EDagang tahunan yang berlangsung buat kali ketiga di Cyberjaya, Selangor. 

Syarikat-syarikat yang cemerlang telah dinobatkan melalui 10 kategori anugerah berbeza bagi menghargai pencapaian cemerlang terhadap pembangunan dan pertumbuhan industri perkhidmatan pos dan kurier, terutamanya dalam sektor E-Dagang di negara ini. 

Pada Majlis Anugerah Industri Penghantaran E-Dagang 2019, Pos Malaysia Berhad telah merangkul empat (4) anugerah berprestij iaitu Anugerah Kecemerlangan Keselamatan Jalan Raya bagi kategori  Pemandu Van Terbaik dan Pemandu Lelaki Terbaik, Anugerah Pekerja Terbaik Industri serta Anugerah Peningkatan Prestasi Terbaik. 

Syarikat kurier tempatan, City-Link Express Sdn Bhd pula memenangi Anugerah Kecemerlangan Keselamatan Jalan Raya untuk kategori Pemandu Lori Terbaik; Anugerah Tanggungjawab Korporat Sosial Terbaik dan Anugerah Kecemerlangan Penghantaran. 

Lain-lain kategori anugerah yang turut dipertandingkan ialah Anugerah Inovasi Terbaik dan  Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Pelanggan.  

Majlis Anugerah Industri Penghantaran E-Dagang 2019 ini turut menyaksikan pengenalan satu kategori anugerah baharu iaitu Anugerah Peningkatan Prestasi Terbaik sebagai tanda penghargaan kepada para pemain yang telah mempamerkan peningkatan yang memberansangkan berbanding tahun sebelumnya. 

Kesemua pemenang dipilih oleh sekumpulan panel juri yang terdiri dari ahli akademik, wakil industri dan MCMC. Setiap pemenang dinilai berpandukan kepada beberapa kriteria yang ditetapkan untuk setiap kategori termasuk aspek konsep, impaknya kepada komuniti serta mutu persembahan dan perkhidmatan yang disampaikan. 

Penganjuran Majlis Anugerah ini adalah tepat pada masanya memandangkan sektor E-Dagang di Malaysia semakin berkembang pesat. Menurut Laporan e-Conomy South-East Asia 2019 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, nilai e-dagang di Malaysia telah meningkat tiga (3) kali ganda sejak 2015 dan nilainya telah mencecah RM12.57 bilion pada 2019. Adalah diramalkan nilai e-dagang negara akan mencecah RM45.8 bilion menjelang tahun 2025 sekaligus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

Justeru itu, adalah penting bagi syarikat-syarikat industri pos dan kurier di negara ini untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka selain mengamalkan strategi pertumbuhan yang bijak dalam berhadapan dengan pasaran yang kompetitif. 

Majlis penyampaian anugerah ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YBhg Dato’ Suriani Dato’ Ahmad.  Turut hadir ialah Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak dan wakil-wakil daripada syarikat pos dan industri kurier negara.

PDF
Share this article
Follow