Pusat Media

MCMC Menggerakkan Usaha Membendung Cetak Rompak Digital

14 Feb 2019
MCMC MENGGERAKKAN USAHA MEMBENDUNG CETAK ROMPAK DIGITAL
 
PUTRAJAYA, 14 Februari 2019 --- Pengawalselia, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pemain industri telah berhimpun di Sidang Kemuncak Anti Cetak Rompak Digital Kuala Lumpur pada hari ini untuk membincangkan usaha untuk melindungi industri kreatif Malaysia daripada cetak rompak digital. Persidangan kemuncak itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kerjasama Coalition Against Piracy (CAP) dan Asia Video Industry Association (AVIA) dan disokong oleh syarikat-syarikat kandungan dari Malaysia seperti Astro Malaysia Holdings Bhd dan Media Prima Bhd, dimsum dan iflix.
 
Pesidangan kemuncak itu mengumpulkan semua wakil-wakil kerajaan, pakar-pakar industri dan technologi dalam satu platform yang membolehkan mereka bertukar-tukar maklumat, cara kerja terbaik, dan garis panduan bagaimana untuk membendung cetak rompak digital bersama-sama dengan pakar-pakar tempatan dan luar negara daripada MCMC, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), MyIPO, Media Partners Asia, 21st Century Fox, Singtel dan Liga Perdana Inggeris (EPL).
 
Dalam ucapan pembukaannya, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tuan Gobind Singh Deo berkata bahawa pihak kerajaan sedar tentang perlunya untuk menjadi lebih proaktif dalam memerangi cetak rompak digital supaya pengguna internet dan pengguna media tidak mengambil ringan isu tersebut.
 
“Sokongan bersama dan penglibatan agensi-agensi yang terbabit seperti KPDNHEP, KKMM, MCMC dan PDRM; pemain industri, pembekal perkhidmatan internet; dan persatuan pengguna sangat kritikal untuk memastikan usaha berterusan sedang dilakukan. Lebih penting lagi, semua pemegang taruh perlu memahami bahawa kerjasama ini memerlukan pemahaman lebih jauh dan mendalam mengenai peranan mereka dan melibatkan pelaburan dari segi masa, tenaga kerja dan kewangan,” kata Menteri.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi MCMC, Encik Al-Ishsal Ishak yang memberitahu bahawa kerjasama di antara KPDNHEP dan MCMC telah lama terjalin khususnya dalam memberi bantuan teknikal untuk menghalang akses kepada laman sesawang yang menyalahi Akta Hak Cipta 1987.
 
Dalam ucapan beliau, Al-Ishsal menyeru kepada para pemegang taruh untuk memainkan peranan mereka secara bersama dan berterusan untuk memberi kesedaran kepada orang awam mengenai harta intelek dan budaya menghormati hak dan pemilkan harta intelek orang lain.
 
Beliau menggalakan para peserta sidang kemuncak itu untuk memanfaatkan pertukaran maklumat dan rangkaian di sidang tersebut supaya mereka boleh menyumbang kepada strategi yang lebih menyeluruh dan berkesan bagi menangani cetak rompak digital.
 
“Sebagai pengawalselia dan pemaju industri komunikasi dan multimedia Malaysia, kami komited untuk memastikan dan menjadikan dunia digital selamat daripada sebarang potensi risiko termasuklah cetak rompak,” kata Al-Ishsal.
 
Kesan daripada cetak rompak digital kepada Malaysia sangat besar di mana aktiviti yang menyalahi undang-undang ini telah menyebabkan industry mengalami kerugian pendapatan sejumlah RM1.05 billion dan kerajaan kerugian hasil cukai sejumlah RM157 juta pada tahun 2016 dan sebanyak 1,900 orang kehilangan pekerjaan dalam industri perfileman dan penyiaran.*
 
Tamat
 
 
*Sumber: Analisis dalaman Astro mengenai landskap pasaran yang disokong oleh laporan daripada PWG Global Media Outlook Report 2016, Comscore 2016 dan Oxford Economics 2014.
 
Kongsi artikel ini
Follow