Media & Events

MCMC Zahirkan Penghargaan Kepada Warga Pos Dan Kurier Sempena Hari Pos Sedunia

08 Oct 2020
CYBERJAYA, 8 Oktober 2020 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengambil kesempatan sempena Hari Pos Sedunia yang disambut pada 9 Oktober setiap tahun, untuk menyatakan penghargaan kepada seluruh warga kerja dan pengurusan syarikatsyarikat pos dan kurier di seluruh negara. Komitmen yang ditunjukkan oleh kakitangan perkhidmatan pos dan kurier telah membantu rakyat Malaysia mengharungi saat getir berikutan pandemik COVID-19 dan menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Ketika hampir semua perkhidmatan lain terhenti, kakitangan pos dan kurier terus bergerak dan mengambil risiko tinggi untuk melaksanakan amanah pelanggan. Atas jasa ini, MCMC dan rakyat Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga pos dan kurier yang telah bertindak sebagai wira barisan hadapan untuk membolehkan orang ramai meneruskan kelangsungan hidup.

Atas keprihatinan untuk melindungi petugas penghantaran dan pelanggan yang menerima bungkusan, syarikat pos dan kurier juga telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika penyerahan bungkusan. Penjarakan fizikal dan urusan tanpa sentuhan dijadikan amalan termasuk pengenalan aplikasi pintar urusan pengiriman secara dalam talian.

Kakitangan pos dan kurier bekerja keras membuat penghantaran bungkusan yang meningkat secara mendadak akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pesta jualan platform e-dagang. Jumlah penghantaran domestik bagi bungkusan dan dokumen terus menunjukkan trend peningkatan, dengan jumlah penghantaran bagi suku pertama 2020 meningkat sebanyak 10% kepada 61 juta berbanding 56 juta 1 pada suku pertama 2019. Jumlah bagi suku kedua 2020 pula dianggar hampir mencecah 100 juta.

Syarikat pos dan kurier utama juga telah tampil membantu meringankan beban usahawan kecil dan sederhana untuk menghantar bungkusan kepada pelanggan. Pakej Prihatin Pos dan Kurier yang hanya mengenakan caj RM5 diperkenalkan ketika PKP dan telah memberi kelegaan kepada ramai usahawan kecil yang beralih kepada jualan secara dalam talian.

Setakat ini, terdapat 111 syarikat pemegang lesen pos dan kurier yang sah memberi perkhidmatan di pelbagai peringkat di negara ini. Semoga industri ini terus berdaya maju dan rakyat terus menerima perkhidmatan yang berkualiti di seluruh negara.

PDF

Share this article
Follow