Pusat Media

Siaran Akhbar: MCMC sertai Forum 5G APAC GSMA bagi Perkukuh Kerjasama Serantau (Cont')

17 Feb 2020
Siaran Akhbar: MCMC sertai Forum 5G APAC GSMA bagi Perkukuh Kerjasama Serantau ke Arah Memacu Perkembangan Inovasi 5G
 
  • Forum 5G APAC GSMA yang diasaskan pada 25 September 2019 dianggotai wakil-wakil industri dan agensi-agensi kerajaan di rantau Asia Pasifik bagi mencari kaedah terbaik memacu perkembangan pelbagai segmen berkaitan 5G.
  • Ahli forum diberi keistimewaan untuk menghadiri persidangan dan mengakses kepakaran serta kajian yang disediakan oleh GSMA.  
Cyberjaya, 17 February 2020 ---  Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mengorak langkah memacu pembangunan 5G dengan menjadi ahli Forum 5G APAC GSMA.

Forum 5G APAC GSMA yang diasaskan pada 25 September 2019 dianggotai wakil-wakil industri dan agensi-agensi kerajaan di rantau Asia Pasifik bertujuan mencari kaedah terbaik memacu perkembangan pelbagai segmen berkaitan 5G. Penyertaan MCMC sebagai ahli forum ini dimeterai ketika pertemuan Pengerusi MCMC Al-Ishsal Ishak bersama Ketua GSMA Asia Pasifik, Julian Gorman pada 20 Januari 2020 di Langkawi, Kedah.

GSMA mengiktiraf kepimpinan MCMC sebagai peneraju pembangunan 5G di Malaysia dan percaya bahawa penyertaan dalam forum tersebut akan terus membolehkan interaksi membina dan perkongsian maklumat antara ahli-ahli dalam mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi pelbagai isu berkaitan 5G, termasuklah isu teknikal, infrastruktur, spektrum, model perniagaan, penetapan dasar dan sebagainya, bagi membina ekosistem 5G yang mampan.

Forum 5G APAC GSMA bermatlamat untuk membentuk acuan evolusi teknologi 5G yang menjadi teras bagi mencetuskan inovasi sosial dan ekonomi yang boleh merangsang pembangunan di negara-negara rantau ini. Selain kerjasama antara ahli, peserta forum juga diberi keutamaan untuk mengakses khidmat kepakaran, persidangan, makmal dan kajian-kajian yang dilakukan oleh GSMA.

Antara wakil penting industri telekomunikasi di rantau ini yang telah menyertai Forum 5G APAC GSMA ialah KDDI dan NTT DOCOMO dari Jepun, KT, SK Telecom dan LG UPlus dari Korea Selatan. Keahlian forum ini dijangka akan terus meningkat di kalangan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama dan agensi-agensi kerajaan yang mengawal selia industri komunikasi kerana manfaatnya sebagai sebuah wacana yang berkesan dalam menentukan pendekatan dan hala tuju 5G di rantau ini.

“Melalui Forum 5G APAC GSMA, MCMC berhasrat untuk berkongsi pengalaman Malaysia menghimpunkan pelbagai industri, kerajaan persekutuan dan negeri, serta pihak berkuasa tempatan untuk membangunkan secara kolektif sebuah ekosistem yang holistik dalam pengkomersilan 5G di negara ini. Selain itu, ia juga menjadi sumber rujukan untuk kita menetapkan dasar dan peraturan terbaik bagi merangsang inovasi dan pengalaman berasaskan 5G yang dapat dimanfaatkan khususnya oleh pengusaha pelbagai jurusan industri dan seluruh rakyat, amnya,” kata Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak.

“Di permulaan sesuatu era teknologi baharu, kumpulan perintis menjadi pihak yang mengorak langkah penting untuk mengatasi cabaran dan membuka jalan yang disusuli pihak seterusnya. Kami mengalu-alukan penyertaan MCMC bersama perintis-perintis lain di rantau ini untuk bekerja dalam satu komuniti yang memimpin inovasi 5G di peringkat nasional dan serantau demi memajukan ekonomi digital secara inklusif dan menerajui kejayaan teknologi yang bakal mencetuskan transformasi ini,” tambah Julian Gorman, Ketua GSMA Asia Pasifik.
 

PDF

Kongsi artikel ini
Follow