Pusat Media

Masalah Capaian Internet: MCMC Proaktif Bantu Rakyat

29 Jan 2021
Susulan kisah-kisah masalah capaian Internet yang dihadapi oleh para penduduk di beberapa buah lokasi di seluruh negara yang mendapat liputan meluas media massa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan, pihaknya telah turun padang dan mengambil pendekatan proaktif dalam menangani isu berkenaan.

Justeru, masalah capaian Internet yang berlaku di lapan (8) lokasi seperti Kg. Banggol Pak Esah di Pasir Puteh dan Kg. Siram, Kedai Tanjong, di Pasir Mas; Kg. Aring 5 Gua Musang; Kg. Kaum Asli Kemidak, di Bekok, Segamat; Pulau Aman; Kg. Labi di Beaufort; Kg. Panikuan di Kudat serta Kg. Waluhu di Ranau, telah diberi perhatian serius dan disusuli dengan tindakan oleh MCMC.

Tindakan-tindakan yang diambil oleh MCMC adalah seperti berikut:

i. Kg. Banggol Pak Esah, Pasir Puteh

Bagi masalah capaian Internet yang dihadapi oleh penduduk setempat dan para pelajar sekolah khususnya di Kg. Banggol Pak Esah, pihak MCMC telah menghubungi Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk melaksanakan kerja-kerja penyambungan talian tetap Unifi ke rumah pengadu. Untuk penyelesaian jangka panjang bagi kawasan tersebut, sebuah menara telekomunikasi di Kg. Batu Selinsing akan dinaik taraf kepada teknologi 4G di bawah Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).

ii. Kg. Siram, Kedai Tanjong, Pasir Mas

Kesukaran siswi kembar yang berhadapan dengan capaian Internet yang tidak stabil di Kg. Siram, Kedai Tanjong, Pasir Mas berjaya diselesaikan selepas pihak TM telah memasang talian Unifi di rumah pengadu.

iii. Kg Aring 5 Gua Musang

Masalah ketiadaan capaian Internet dan pemilikan peranti yang dihadapi oleh anak-anak Orang Asli di Kampung Aring 5, Gua Musang sedang ditangani. Setakat ini, tinjauan telah dilakukan di lokasi berkenaan dan tindakan menguji kekuatan isyarat setiap telcos dijalankan. Untuk pelan jangka panjang pula, kawasan ini akan dibina sebuah menara baharu di bawah projek JENDELA (PPS).

iv. Kg. Kaum Asli Kemidak, Bekok, Segamat

Bagi sekumpulan pelajar sekolah dan mahasiswa di Kg. Kaum Asli Kemidak, Bekok, Segamat yang terpaksa mengikuti pembelajaran dalam talian di kebun sawit pula, masalah capaian Internet lemah bakal diatasi apabila sebuah menara telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan terbabit. Menara telekomunikasi baharu berkenaan akan dilaksanakan di bawah Pelan JENDELA Fasa 1 yang kini dalam proses tender. Untuk jangka masa pendek pendekatan penggunaan teknologi lain sedang diperincikan.

v. Pulau Aman, Pulau Pinang

Kisah sebahagian para pelajar sekolah yang terpaksa merayau sekitar pulau untuk mendapatkan capaian Internet di Pulau Aman telah diambil tindakan. Sebagai langkah sementara, pihak Celcom telah mengalihkan satu sektor antena di menara telekomunikasi Bukit Batu Kawan untuk menghala ke kawasan aduan bagi meningkatkan kualiti liputan di sana. Untuk langkah penyelesaian jangka panjang pula, pembinaan sebuah menara baharu akan dicadangkan dalam pelan JENDELA akan datang. Permohonan oleh pihak penyedia perkhidmatan agar tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat atau PPS digunakan untuk membina menara baharu di kawasan PPS sedia ada sedang dipertimbangkan.

vi. Kg. Labi, Beaufort

Masalah capaian Internet yang dihadapi oleh tiga (3) beradik di Kg. Labi, Beaufort yang terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di atas sampan, bakal diatasi apabila sebuah menara baharu akan dibina di Kg. Sungkadan dan pembinaan menara ini akan dilaksanakan di bawah pelan JENDELA. Dengan adanya menara baharu itu, para penduduk berpeluang untuk menikmati perkhidmatan 4G tidak lama lagi.

vii. Kg. Panikuan, Kudat

Dalam pada itu, para penduduk di Kg. Panikuan, Kudat akan turut menikmati perkhidmatan 4G setelah menara PPS di kampung tersebut siap dan beroperasi. Kini, kerja-kerja pemasangan peralatan radio sedang dijalankan oleh pihak U Mobile. Bagi seorang ibu dan tiga (3) orang anak yang menghadapi kesukaran mendapatkan capaian Internet, mereka telah dimaklumkan untuk memanfaatkan kemudahan Pusat Internet Komuniti (PIK) Kg. Lawa, Kabajang yang hanya terletak kurang daripada 1.67 kilometer dari Kg. Labi.

viii. Kg. Waluhu, Ranau

Kisah sekumpulan pelajar di Kampung Waluhu, Ranau yang terpaksa meredah hutan dan berdepan risiko binatang buas semata-mata untuk mendapatkan capaian Internet tidak terlepas daripada perhatian MCMC. Untuk itu, sebuah menara baharu akan dibina di Kg. Singgaron Baru di bawah perancangan JENDELA. Menara berkenaan akan dibina pada lokasi yang bersesuaian bagi memberikan liputan lebih baik kepada Kg. Singgaron Baru dan Kg. Waluhu. Para penduduk di sana juga boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan di PIK Kg. Bongkud.

Ini adalah langkah-langkah pihak MCMC untuk membantu dengan secepat mungkin kawasan yang terkesan selain daripada mempercepatkan perancangan yang sedia ada agar penduduk setempat dapat melaksanakan aktiviti seharian mereka dengan lancar.

PDF

Kongsi artikel ini
Follow