Pusat Media

Kenyataan Media: MCMC Tingkatkan Langkah Kawalan Selepas Seorang Kakitangan Disahkan Positif COVID-19

11 Mac 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dimaklumkan oleh pihak kesihatan kerajaan pada 10 Mac 2020 bahawa seorang kakitangannya telah didapati positif COVID-19.

Kakitangan tersebut sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.  Sebagai langkah proaktif, MCMC sebelum ini telah mengarahkan beliau untuk menjalani kuarantin 14 hari di rumah sejak 4 Mac 2020, setelah mendapati suami beliau mempunyai kontak dengan pesakit COVID-19.

Pengesanan Kontak Terperinci juga telah dilaksanakan untuk mengenal pasti dan memaklumkan kepada individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan kakitangan terbabit, agar mereka menjalani prosedur kuarantin dan saringan kesihatan pada hari ini.

Pihak pengurusan MCMC telah dan sedang berusaha memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif yang maksimum di semua premis MCMC. Antara langkah segera yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
  • Penyediaan cecair pembasmi kuman di semua tingkat bangunan dan kawasan umum sejak 30 Januari 2020;
  • Pemeriksaan wajib suhu badan di pintu masuk utama yang dimulakan pada 28 Februari 2020;
  • Kerja-kerja sanitasi dan pembersihan di Ibu Pejabat MCMC dan Bangunan Lama, sudah pun dijalankan secara berperingkat pada 5 dan 6 Mac 2020;
  • Prosedur sanitasi dan pembersihan juga diteruskan di semua Pejabat Negeri MCMC di seluruh negara bermula 9 Mac 2020.
Demi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan membendung penularan virus COVID-19, Pasukan Pengurusan Risiko MCMC telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan (PKP) pada 25 Februari 2020. Antara langkah yang diambil adalah membenarkan kakitangan bekerja dari rumah di samping menyediakan pejabat alternatif di luar Lembah Kelang jika diperlukan kelak. Aspek perancangan sumber manusia diberi perhatian khusus terutama berkaitan fungsi kerja kritikal dan peneraju setiap bidang perkhidmatan penting.
 
Langkah-langkah tambahan daripada PKP, adalah untuk memperkenalkan skim pembayaran gantirugi yang diharap membantu kakitangan mengambil keputusan yang tepat.  Ini berikutan arahan pembatalan semua perjalanan ke luar negara, sama ada untuk tujuan rasmi atau peribadi.  Skim yang julung kali diwujudkan oleh MCMC ini bertujuan untuk mendorong kakitangan mengutamakan kesihatan mereka dan ahli keluarga dengan membatalkan perjalanan peribadi.

Semua operasi di Ibu Pejabat, Bangunan Lama MCMC di Cyberjaya dan pejabat Negeri akan berjalan seperti biasa. Bagaimanapun, Kaunter Aduan Pengguna akan ditutup buat sementara waktu bagi mengelakkan risiko jangkitan melalui kontak. Pihak awam boleh menyalurkan aduan melalui portal aduan di https://aduan.skmm.gov.my atau e-mel kepada [email protected]. Kakitangan juga dinasihatkan melakukan penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter apabila berhadapan dengan individu lain.
 
MCMC akan terus memantau perkembangan lanjut dan mengambil semua langkah yang perlu diberi tumpuan bagi memastikan keselamatan pihak awam terjamin dan kesihatan kakitangan diutamakan.
 
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Komunikasi Strategik MCMC melalui e-mel: [email protected].

PDF
Kongsi artikel ini
Follow