Pusat Media

Orang Ramai Diminta Beri Maklum Balas Mengenai Rangka Kerja Identiti Digital Nasional

26 Jul 2020
  • Maklum balas boleh diberi menerusi laman sesawang www.mcmc.gov.my mulai 24 Julai 2020 hingga 7 Ogos 2020
  • Identiti Digital Nasional mengesahkan identiti seseorang individu berdasarkan ciri-ciri biometrik dan maklumat demografik bagi memastikan urusan perkhidmatan terutamanya dalam talian cepat, mudah, selamat, terlindung dan terjamin sebagai tambahan kepada MyKad secara fizikal
 
CYBERJAYA, 26 Julai 2020 --- Untuk menyediakan Malaysia dalam era digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan proses rundingan awam untuk mengumpul pandangan dan perspektif orang ramai terhadap pembangunan Rangka Kerja Identiti Digital Nasional.
 
Identiti Digital Nasional adalah pengesahan identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir. Dengan adanya Identiti Digital Nasional, pengesahan identiti pengguna daripada sumber yang sahih membolehkan urusan perkhidmatan yang cepat, mudah, selamat, terlindung dan terjamin. Identiti Digital Nasional juga berpotensi untuk mengelakkan berlakunya jenayah pemalsuan dan penipuan identiti secara dalam talian. 
 
Negara-negara seperti Estonia, United Arab Emirates dan United Kingdom telah melaksanakan Identiti Digital Nasional mengikut kesesuaian konteks negara masing-masing. 
 
Maklum balas yang diterima akan dipertimbangkan dalam menilai dan menambah baik kertas cadangan mengenai Rangka Kerja Identiti Digital Nasional yang sesuai untuk Malaysia. Ia juga membantu mengukuhkan aspek strategi dan hala tuju bagi pelaksanaan Identiti Digital Nasional terutamanya dalam memastikan konsep, penggunaan serta manfaatnya kepada individu, pelbagai organisasi dan industri.
 
Sehubungan itu, orang ramai diminta tampil untuk menyertai Rundingan Awam Rangka Kerja Identiti Digital Nasional.  Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang www.mcmc.gov.my mulai 24 Julai 2020 hingga 7 Ogos 2020.
 
Identiti Digital Nasional amat penting untuk membolehkan kesalinghubungan pelbagai sistem transaksi bagi memudahkan pengguna berurusan di mana sahaja pada bila-bila masa.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow