Media & Events

Pelajar Diseru Manfaatkan Kemudahan Pusat Internet Komuniti (PIK) Untuk Pembelajaran Dalam Talian

03 Dec 2020
Pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran mendapatkan liputan yang baik untuk pembelajaran secara dalam talian diseru memanfaatkan kemudahan yang terdapat di 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara.

Setiap PIK yang dibiayai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai kelengkapan ICT, capaian Internet yang laju dan petugas sepenuh masa yang boleh membantu pengunjung yang datang untuk menggunakan perkhidmatan PIK. Setiap PIK dilengkapi 20 unit komputer, liputan Wifi dan ruang berhawa dingin untuk memberi keselesaan kepada pengguna. Pengurus PIK juga boleh mengkhususkan bilik latihan yang selesa dan kondusif untuk kegunaan pelajar-pelajar yang perlu mengambil peperiksaan dalam talian.

Seruan ini dibuat susulan laporan beberapa portal berita tentang masalah liputan lemah yang dialami oleh seorang pelajar Universiti di Kampung Bukit Petai 7, Tanah Merah, Kelantan, yang terpaksa belajar di khemah yang didirikan di atas bukit di belakang rumahnya.

Pegawai MCMC telah berjumpa dengan keluarga pelajar serta menjalankan pemantauan di rumah pelajar berkenaan baru-baru ini dan mengesahkan liputan jalur lebar mudah alih adalah lemah kerana lokasi kedudukan kampung yang agak jauh dari lokasi stesen pemancar sedia ada dan terlindung disebabkan oleh keadaan muka bumi yang berbukit.

Beberapa langkah sementara termasuk menyediakan menara pemancar mini dan menambah baik pemancar berdekatan yang terletak 2.5km dari kampung itu sedang dirancangkan untuk kelulusan pihak berkuasa berkenaan. Sekiranya kelulusan daripada semua pihak yang berkenaan boleh diperolehi dengan cepat, kualiti liputan dijangka akan dapat diperbaiki menjelang Januari 2021.

Oleh itu, sementara menunggu langkah naik taraf diselesaikan, MCMC menggesa pelajar di kawasan berkenaan untuk memanfaatkan kemudahan PIK yang terdekat di PIK Kusial Bharu, yang terletak 3.5km dari rumah pelajar tersebut dan tidak membahayakan diri terhadap sebarang risiko kemalangan.

Orang ramai boleh menyemak lokasi 873 PIK melalui pendaftaran kata laluan di laman sesawang https://mycomms.skmm.gov.my .
 

PDF

Share this article
Follow