Media & Events

Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Di Landasan Tepat Capai Sasaran

18 Nov 2021
PELAN JALINAN DIGITAL NEGARA (JENDELA) DI LANDASAN TEPAT CAPAI SASARAN

Hari ini saya telah menyampaikan Surat Setuju Terima (SST) kepada petender yang berjaya bagi Tender Bekalan, Kerja serta Perkhidmatan Bagi Projek Penyediaan dan Penyelenggaraan Point of Presence (PoP) Fasa 1 bagi tujuh zon yang terlibat iaitu, Zon Utara, Tengah, Selatan, Pantai Timur, Sabah Sarawak dan Kawasan Perindustrian.

Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (National Fiberisation and Connectivity Plan - NFCP) 2019 - 2023 yang kini dikenali sebagai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat termasuk masyarakat luar bandar di seluruh negara.

Infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi telah dikenal pasti sebagai satu komponen yang penting untuk menyokong institusi perkhidmatan Kerajaan dan pendidikan. Oleh itu, projek ini menyasarkan untuk menyediakan infrastruktur gentian optik berhampiran kawasan sekolah, premis kerajaan, kawasan perniagaan, kemudahan awam dan komersial lainnya bagi membolehkan rakyat mempunyai akses kepada infrastruktur gentian optik dan menikmati capaian jalur lebar dengan kelajuan yang lebih tinggi.

Pelaksanaan projek ini akan mengoptimumkan infrastruktur digital sedia ada, selain mengurangkan pertindanan delam pembinaan infrastruktur digital baharu yang melibatkan kementerian, jabatan, agensi dan syarikat-syarikat swasta di seluruh negara.

Selain daripada projek peluasan infrastruktur telekomunikasi di bawah program JENDELA dan perancangan komersial, pihak Kerajaan akan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah PoP hab gentian optik yang merupakan salah satu alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluaskan ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk dengan lebih baik.

Pelaksanaan ini akan meliputi skop:
  1. Pemasangan gentian optik ke kawasan-kawasan sekolah, premis kediaman, perniagaan, komersial, industri dan lain-lain.
  2. Penyediaan perkhidmatan Internet Jalur Lebar Talian Tetap (JLTT) ke kawasan populasi dan juga bangunan yang berhampiran; dan
  3. Penyelenggaraan infrastruktur gentian optik tersebut.
Kawasan berhampiran sekolah ini dipilih kerana bangunan tersebut merupakan fasiliti umum yangtelah sedia dibina di setiap kawaasan. Ini termasuk kawasan luar bandar dan pendalaman yang dikelilingi dengan lingkungan kediaman, premis kerajaan, kawasan perniagaa, kemudahan awam dan komersial lainnya. Jarak norma liputan PoP sekitar 2.5k-3km radius untuk setiap kawasan sekolah yang telah dipilih.

Secara kesuluruhannya, sebanyak 4,323 PoP telah dirancang di bawah RMKe-12 di kawasan berhampiran sekolah luar bandar, termasuk 47 PoP bagi Kawasan Industri yang telah dikenal pasti. Sekurang-kurangnya sebanyak 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap menjelang akhir RMKe-12 tahun 2025.

Projek PoP ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa 1 (Tahun 2022) sebanyak 630 PoP dan Fasa 2 (tahun 2022-2025) sebanyak 3,693 PoP. 

Menjadi hasrat KKMM agar apabila projek ini selesai menjelang akhir tahun 2025 kelak, kesalinghubungan digital yang berteraskan rangkaian gentian optik terutamanya di kawasan luar bandar akan dapat merapatkan jurang digital, menyokong pembangunan wilayah yang seimbang dan inklusif, seterusnya menyokong pembangunan teknologi baharu seperti 5G dan generasi-generasi teknologi komunikasi yang akan datang.

PDF

Share this article
Follow