Media & Events

Pelbagai Pakej Jalur Lebar Berpatutan Disediakan Untuk Galakkan Golongan Belia (Con't)

22 Sep 2020
Pelbagai Pakej Jalur Lebar Berpatutan Disediakan Untuk Galakkan Golongan Belia Terokai Bidang Digital

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negara ini menyambut baik saranan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia, 17 September lalu, agar golongan belia diberikan pengetahuan yang mencukupi dan peluang yang luas untuk mencetuskan inovasi dan idea baharu di era ekonomi digital. Golongan belia merupakan kumpulan pengguna kemudahan telekomunikasi paling ramai dan paling aktif.

Pakej langganan yang disediakan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi sentiasa mengambil kira keperluan belia terhadap capaian jalur lebar yang murah dan berterusan. Sehubungan itu, beberapa pakej yang sesuai diperkenalkan seperti berikut:-



Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai salah satu agensi kerajaan yang terlibat dalam penyediaan infrastruktur telekomunikasi yang mampan di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), turut membantu melaksanakan agenda pembangunan modal insan dalam sektor digital, terutamanya untuk golongan belia berusia antara 15 hingga 40 tahun. Tinjauan oleh MCMC terhadap penggunaan perkhidmatan jalur lebar pada 2018 mendedahkan bahawa golongan belia membentuk komposisi seperti berikut:-
  •  67.8% daripada 28.7 juta pengguna internet;
  • 80.9% atau 16.6 juta terlibat dengan aktiviti e-dagang; dan
  • 78.4% menggunakan internet setiap hari antara 1-12 jam.
Tinjauan ini juga menunjukkan kecenderungan golongan belia menggunakan Internet sebagai platform utama untuk mencari pekerjaan, bermain permainan dalam talian, mendapatkan hiburan, berkomunikasi dan mencari maklumat.

MCMC kini sedang mengambil langkah memperkasakan fungsi 1,064 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara sebagai pusat transformasi digital untuk masyarakat setempat dengan menjadikan golongan belia sebagai sasaran utama. Selain memberi latihan kemahiran asas ICT untuk pelbagai golongan, PIK kini mampu menyediakan latihan yang lebih canggih seperti pengaturcaraan, aplikasi robotik, penciptaan aplikasi mudah alih, keusahawanan e-dagang, animasi, penerbitan video, pencetakan tiga (3) dimensi dan latihan-latihan lain yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia untuk menambah kemahiran dan mencipta inovasi.

Kemudahan dan pelbagai program yang disediakan ini diharap dapat merangsang golongan belia melengkapkan diri dengan pengetahuan digital yang sofistikated untuk bersaing membina masa hadapan.

PDF
Share this article
Follow