Media & Events

Pemberian 1GB Data Percuma Setiap Hari Dilanjutkan Sehingga 31 Julai 2021

30 Apr 2021
CYBERJAYA, 30 April 2021 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mendapat persetujuan lima (5) syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama, iaitu Celcom, Digi, Maxis, U-Mobile dan Telekom Malaysia (TM), untuk melanjutkan pemberian 1GB data harian percuma kepada semua pelanggan masing-masing sehingga 31 Julai 2021. Pemberian data percuma 1GB secara harian sejak April tahun lalu, bertujuan membantu rakyat menghadapi norma baharu digitalisasi semasa dilanda pandemik COVID-19. Ianya telah dilanjutkan beberapa kali dan sepatutnya tamat pada 30 April 2021.

Lanjutan terbaharu ini dibuat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat, atas ehsan dan keprihatinan syarikat-syarikat telekomunikasi memandangkan situasi pandemik COVID-19 di negara ini masih belum stabil, lebih-lebih lagi untuk membantu pelajar-pelajar sekolah beralih semula kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidilfitri seperti yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Kuota harian 1GB percuma adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu. Bagaimanapun, ianya tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, penstriman muzik dan permainan dalam talian.

Sementara itu, YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) juga terus menyokong sistem pendidikan dengan melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 September 2021 dan turut merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi. Pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon pintar percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

MCMC berharap lanjutan pemberian 1GB data percuma harian sehingga 31 Julai 2021 dan sokongan lain yang disediakan akan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan lain-lain. Kerajaan akan terus menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pelan Tindakan MyDIGITAL untuk memastikan agenda pembangunan yang berteraskan digitalisasi dilaksanakan secara inklusif tanpa ada golongan yang terpinggir.


PDF

Share this article
Follow