Pusat Media

Pengguna Media Sosial Diingatkan Jaga Kesopanan Dan Kesusilaan Ketika Memberikan Pandangan Atau Ulasan

12 Jan 2021
Berikutan perkembangan semasa berkaitan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perisytiharan Proklamasi Darurat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekali lagi ingin mengingatkan semua pihak, terutamanya pengguna media sosial, agar sentiasa menjaga kesopanan dan kesusilaan ketika memberikan pandangan dan membuat sebarang ulasan.

Pihak MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan yang bersifat jelik membabitkan unsur 3R, iaitu Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race).

Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

MCMC ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

Laporkan insiden atau kandungan berunsur 3R di media sosial terus kepada MCMC melalui aplikasi Whatsapp di talian 016-220 6262 atau e-mel kepada [email protected]. Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/ .
 
MCMC turut berharap rakyat dapat berganding bahu bersama dengan kerajaan dalam memberi fokus kepada usaha meredakan ledakan pandemik COVID-19 dan membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri. Elakkan keghairahan yang melampau atau membuat spekulasi liar serta berita palsu yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni.

PDF

Kongsi artikel ini
Follow